Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Tamparan hebat buat Park Yoo Chun apabila kini lima individu muncul mendedahkan mereka mangsa cubaan serangan seksual.

Pada 28 Jun lalu, individu kelima itu muncul membuat pendedahan dalam satu temu ramah bersama media Korea Selatan. Individu dikenali sebagai E yang bekerja di pusat hiburan mendakwa diganggu Yoo Chun ketika berada di bilik air pusat itu.

Wanita itu dipercayai merekod aktiviti itu melalui perbualannya dengan seorang teman dalam laman sosial.

Dalam perbualan itu, E mengatakan sebuah kumpulan datang ke situ bermain muzik. Dia juga mendedahkan Yoo Chun memanggilnya ke bilik mandi dan memaksanya melakukan hubungan seks.

“Saya tegas menolak dan berjaya berlari keluar daripada bilik mandi. Tapi adakah semua itu boleh diselesaikan dengan membuat laporan polis?

“Semua orang akan malukan saya. Tiada siapa akan percaya sebab mereka akan fikir bagaimana seorang pelayan bar boleh mendakwa dirogol?” katanya.

Sebelum ini, media Korea mendedahkan empat individu didakwa melayan Yoo Chun sebagai pelanggan di bilik kafe.

Menariknya, pendedahan mereka menunjukkan cerita hampir sama iaitu selepas ahli band masuk ke dalam bilik dan muzik dimainkan, Yoo Chun akan pergi ke bilik mandi.

Malah dua kakitangan pusat itu turut mengesahkan Yoochun sering ke bilik mandi bersama gadis berbeza.

“Apabila band mula bermain muzik, dia akan ke bilik mandi bersama seorang teman. Kami tidak tahu apa yang berlaku kerana bising dengan bunyi muzik.

“Sebaik saja Yoo Chun ke bilik mandi, rakan-rakannya akan ketawa. Seolah mereka tahu apa yang berlaku di dalam sana. Kami hanya syak, tapi tak pasti,” kata saksi.

Namun, kedua-dua saksi agak skeptikal menjelaskan insiden sebagai serangan seksual atau rogol. Kata mereka kepada media, segelintir wanita melakukannya kerana memang mahukannya tetapi ada juga wanita yang tidak merelakan.

Ia sukar untuk dijelaskan secara umum atau tampil dengan perkara begini disebabkan faktor persekitaran pekerjaan mereka.

Sebelum ini satu kes menyelubungi anggota kumpulan JYJ itu berhadapan dengan pusingan U tajam. Selebriti itu saman balas wanita pertama yang menuduhnya melakukan gangguan seksual.

Menurut undang-undang, Yoo Chun menyaman balik kerana wanita itu cuba memeras ugut dan membuat dakwaan palsu terhadapnya.

Saman itu juga melaporkan wanita itu menuntut wang AS$853,000 (RM3,442,665) dan berhijrah ke China.

Wanita itu seperti wanita lain didakwa menjadi mangsa gangguan seksual Yoo Chun berkata, penyanyi itu mengganggunya pada 4 Jun lalu.

Empat hari selepas itu, agensi mewakili Yoo Chun dihubungi wanita itu dan dalam perbualan telefon dia berkata mahu berunding dengan agensi sebelum meneruskan saman.

Wanita itu dilaporkan berkata, selepas diganggu secara seksual, dia tidak berani lagi tinggal di Korea Selatan dan berhasrat untuk berpindah ke China. Untuk selesaikan kes, dia juga meminta sejumlah wang.

Wakil agensi kemudian mengadakan pertemuan dengan wanita itu tetapi wanita itu tidak hadir dan diwakili teman lelakinya, anggota kongsi gelap di Seoul.

Susulan itu, agensi Yoo Chun enggan melayan tuntutan dibuat dan wanita itu memfailkan saman terhadap Yoo Chun, sehari kemudian.

Asasnya, isu berkisar kepada tuduhan palsu terhadap Yoo Chun dan saman balas terhadap wanita itu, teman lelakinya dan seorang individu lagi.

Polis masih menyiasat kes saman balas Yoo Chun untuk memeriksa kesahihan cerita, sama ada tuduhan kes pertama adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:07 AM