MITSUBISHI ASX Orange Edition.
TERHAD 180 unit.
KERUSI dan alas kaki kemasan jahitan oren.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak popular Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kembali dengan edisi terhad menerusi Mitsubishi ASX Orange Edition.

Ia ditawarkan hanya 180 unit dengan harga jualan RM132,900.19 tanpa insurans yang didatangkan hanya warna putih.

Penampilan wajah SUV kompak diceriakan sentuhan warna oren pada bahagian hadapan dan belakang. Pada masa sama, spoiler dan cermin sisi turut menerima sentuhan warna berkenaan.

Imej luaran tampak lebih garang selepas dilekatkan pelekat berkonsepkan ‘Spirit of Competition’, rim aloi 17 inci hitam kusam (matte) dan visor pintu.

Teknologinya diperkuatkan sistem ‘All Round Monitor’ di mana empat kamera dipasang di bahagian depan, sisi dan belakang bagi memberikan pandangan seperti mata burung sekali gus memudahkan kenderaan meletak parkir.

Bagi menyempurnakan gaya sportynya, SUV kompak itu dilengkapi gabungan kerusi kulit dengan diperhalusi jahitan oren, selain padanan kemasan gentian karbon pada bahagian panel audio serta pintu.

Sementara itu, sempena musim perayaan ini, MMM menawarkan promosi raya dengan rebat tunai sehingga RM8,000 bagi Mitsubishi ASX Orange Edition untuk tempahan dan pendaftaran sebelum 31 Julai 2016.

Rangkaian kuasa yang digunakan masih sama iaitu 2.0 liter MIVEC dengan menghamburkan 150PS dan tork setinggi 197Nm.

Kuasa enjin itu disalurkan kepada transmisi Mitsubishi ASX INVECS-III CVT dengan Mod Sport bagi menambahkan prestasi lebih lancar.

Ciri keselamatannya, Mitsubishi ASX hadir dengan tujuh beg udara, Sistem Brek Antikunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD) adalah ciri standard. Mereka yang meminati jentera itu boleh mengunjungi 54 bilik pameran di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:02 AM