SEBAHAGIAN peserta pertandingan gubahan bunga
MUSTAPA (dua dari kanan) bersama pemenang pertama Norizal (dua dari kiri) dan Khairul Anuar (tiga dari kiri), Zamri (kanan) dan Nurul Suhaida (kiri).
Oleh Rahayu Mohd Salleh
ayu@hmetro.com.my

Baru saja acara berlangsung kira-kira setengah jam, gerimis mula melanda namun 15 peserta pertandingan gubahan bunga seperti tidak kisah.

Malah apabila gerimis beralih kepada hujan yang kian lebat, sebahagian peserta di bawah payung dan khemah kecil itu tetap asyik menyusun atur bunga-bungaan biarpun percikan hujan singgah pada pakaian dan gubahan masing-masing.

Sebahagian peserta lain pula kelam-kabut membawa gubahan separuh siap mereka untuk berlindung di bawah khemah gerai biarpun suasana sekitar agak sesak.

Pertandingan gubahan bunga anjuran gerai Hati pada Karnival Padat HM 2014 kali ini meriah dengan pelbagai aksi. Selain ketekunan dan kesungguhan peserta menyudahkan gubahan penuh kreatif dalam ruang terhad, gelagat peserta lelaki memang sering mencuri perhatian.

Antara peserta lelaki ini, ada yang menjadi peserta terawal mendaftar, ada juga yang malu-malu dan hanya menantikan saat akhir untuk bertanding.

Norizal Ngah, 38 dan Khairul Anuar Md Nor, 41, misalnya kelihatan ragu-ragu mahu turut serta. Namun jika darah seni memang sudah sebati dalam diri, menggubah bunga tampak mudah saja bagi mereka.

Ternyata kelainan gubahan dua pelukis ini, Norizal dan Khairul Anuar, juga membolehkan mereka meraih tempat pertama pertandingan gubahan berkenaan yang turut disertai lima peserta lelaki lain.

"Saya rasa bernasib baik saja menang kerana tidak pernah pun mencuba, cuma selalu melihat isteri menggubah bunga di rumah. Adakalanya isteri minta idea dan saya sebagai pelukis, dalam fikiran memang sentiasa ada gambaran daripada setiap idea.

"Juri pun ada berkata mahukan kelainan jadi terfikir untuk menggubah menggunakan bakul yang senget," katanya.

Juri pertandingan, penggubah bunga berpengalaman luas termasuk di hotel terkemuka ibu negara, Roslan Razali menyifatkan persaingan begitu sengit untuk memilih tiga pemenang utama.

Tetapi akhirnya, penggunaan bakul yang begitu kreatif selain skema warna bunga teluki kuning, mawar putih dan gebbera merah jambu yang disusun beralun berjaya menawan hati juri.

"Tak pernah saya mengadili peserta pertandingan gubahan bunga yang memanfaatkan bakul bunga dengan cukup kreatif. Pemenang pertama yang menggunakan sisi bakul sebagai tapak gubahan memang kreatif malah ia terletak cantik dan langsung tidak menjejaskan keseluruhan gubahan," katanya.

Pertandingan gubahan bunga berkenaan berlangsung Ahad lalu di Bazarena, Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. Ia menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM150, beg tangan tajaan Alfio Raldo dan tudung tajaan Zaida's Collection untuk pemenang tempat pertama.

Pemenang tempat kedua, Zamri Jaapar, 39, pula meraih wang tunai RM100 beserta beg tangan dan tudung manakala pemenang tempat ketiga, Nurul Suhaida Hamzah, 30, memenangi wang tunai RM50, beg tangan dan tudung.

Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 5:02 AM