UMAT Islam mengambil peluang beribadat dengan tekun pada bulan Ramadan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Terserah padamu wahai hati! Kaulah yang tetap mencari waktu untuk berdoa dan kau juga yang membataskannya. Namun, Allah akan mengabulkan doa kita semua tetapi dengan syarat apabila kita berdoa.

Allah dekat. Allah sungguh romantik. Allah sendiri yang memberitahu kita Dia dekat, sebagaimana dapat diperhatikan dalam firman-Nya iaitu pada ayat 186 daripada surah al-Baqarah bermaksud: “Sesungguhnya Aku sentiasa dekat.”

Mari kita lihat jawapan al-Quran daripada pertanyaan berikut:

l

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak bulan. Katakanlah, (peredaran) anak bulan itu menandakan waktu (urusan dan amalan) manusia dan ibadat haji...” (Surah al-Baqarah, ayat 189)

l

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang pada bulan yang dihormati. Katakanlah, berperang dalam bulan itu adalah dosa besar...” (Surah al-Baqarah, ayat 217)

l

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai harta rampasan perang. Katakanlah, harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan Rasul (untuk menentukan pembahagiannya)...” (Surah al-Anfal, ayat 1)

l

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah). Katakanlah, apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan...” (Surah al-Baqarah, ayat 215)

l

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya ada dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya...” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

l

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.

“Maka, hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Anda perasan atau tidak? Setiap pertanyaan dalam al-Quran seperti dinyatakan itu, jawapan dimulai dengan ‘katakanlah’ melainkan ayat yang terakhir. Kenapa ya?

Ini kerana hubungan yang ada ialah hubungan langsung terbuka antara kita dengan Allah, bila-bila dan di mana-mana saja tanpa ada perantaraan antara kita dengan-Nya. Hebatkan?

Hati yang merasai akan segera berdoa kepada Allah serta terus berdoa dan menjadikannya sebagai hobi.

Firman-Nya bermaksud: “Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”

Betapa Allah Maha Pemurah. Semoga kesedaran ini menjadi titik tolak kecintaan kita terhadap ibadat doa. Amin!

Penulis ialah penulis buku dan pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:18 AM