SUBAHAN (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Eksekutif MHC ke-7 di Hotel Palace of Golden Horses.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wajib bayar. Itu ketetapan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ke atas persatuan negeri yang perlu membayar yuran penganjuran kejohanan sekiranya mahu menganjurkan kejohanan antarabangsa selepas ini.

Jelas Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal, syarat itu akan berkuat kuasa serta-merta bermula daripada penganjuran Piala Sultan Johor yang dijadualkan berlangsung bermula 31 Oktober.

“Untuk kejohanan bertaraf remaja seperti Piala Sultan Johor, yuran penganjuran sebanyak AS$5,000 (RM19,800) akan dikenakan.

“Bagi kejohanan bertaraf senior seperti Piala Sultan Azlan Shah, kami akan kenakan yuran AS$10,000 (RM39,700),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC semalam.

Jelas Subahan, jumlah yuran dikenakan itu disifatkan tidak membebankan persatuan negeri selain selaras seperti apa yang dilakukan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

“Seperti Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan yang bakal berlangsung Oktober, AHF mengenakan yuran AS$20,000 (RM79,400) kepada MHC.

“Itu satu jumlah yang besar. Jadi suka atau tidak, kami terpaksa terima.

“Bagi saya kalau ada yang menyatakan AS$5,000 itu besar, sebenarnya ia jumlah yang minimum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:13 AM