myMetro

Petaling Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melalui anak syarikatnya, MyAngkasa Bina Sdn Bhd (MyAngkasa Bina) bekerjasama dengan Koperasi Usahasama Kuala Selangor Berhad untuk membangunkan 73 unit rumah mampu milik di Sungai Besar, Selangor.

Projek yang bakal dimajukan Panca Minda Sdn Bhd (Panca Minda) itu dibina di atas kawasan seluas 2.12 hektar membabitkan pembangunan rumah mampu milik dengan keluasan 1,420 kaki persegi dan memiliki empat + satu bilik.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, projek itu bakal memberi peluang kepada seluruh ahli koperasi di kawasan Sabak Bernam, Selangor untuk memiliki rumah mampu milik pada harga berpatutan.

“Kami menjangkakan ia akan mendapat sambutan dalam kalangan ahli koperasi memandangkan ia terletak di lokasi strategik dan berdekatan dengan kawasan institusi pendidikan dan bandar berdekatan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Panca Minda dan MyAngkasa Bina serta Koperasi Usahasama Kuala Selangor di sini, semalam.

Projek itu akan memulakan pembinaannya pada Ogos ini dan ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan akan datang dan bakal ditawarkan kepada ahli koperasi di kawasan berdekatan pada harga di bawah RM400,000.

Dalam majlis sama, Angkasa melalui satu lagi anak syarikatnya iaitu MyAngkasa Services Sdn Bhd (MSSB) turut menandatangani perjanjian dengan Yontai Hardware Sdn Bhd untuk bekerjasama bagi menubuhkan sebuah syarikat di kenali Angkasa YT Hardware Sdn Bhd.

Beliau berkata, syarikat itu akan membekalkan semua bahan binaan dan industri pembinaan terutama kepada Kumpulan Angkasa melalui MSSB yang memegang 30 peratus saham dalam syarikat terbabit.

“Syarikat ini akan melantik koperasi yang terbabit dalam industri pembinaan dan pembangunan sebagai sub pembekal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:05 AM