CUKUP sekadar hiasan ringkas di atas meja.
BALANG kaca menarik, membuatkan ruang meja juga ceria.
ALAS meja ringkas tetapi unik.
Faizal Zain

Salam deko. Sambutan Aidilfitri memang tidak lepas daripada ‘acara’ menjamu selera aneka juadah. Bagi menjamu keluarga dan rakan taulan sudah pastinya anda menyiapkan meja makan secantik mungkin.

Sebesar mana pun meja makan yang anda miliki adakalanya tidak mampu menampung jumlah tetamu yang makan bersama-sama. Jadi apa salahnya sediakan juga kerusi kecil untuk mengelakkan mereka terus berdiri kerana ketiadaan tempat duduk.

Jika tidak punya banyak ruang, pemilihan kerusi lipat sangat praktikal. Jika anda bercadang menghidangkan pelbagai juadah pastikan hiasan meja minimum supaya tetamu yang menjamu selera tidak terganggu dengan hiasan yang sarat seperti pasu besar atau tinggi di tengah-tengah meja.

Kebiasaannya jamuan dengan tetamu yang ramai membuatkan pelapik meja anda mudah kotor. Jika masih memilih untuk meletakkan alas meja makan daripada lapisan fabrik, ada baiknya anda turut meletakkan pengalas plastik. Material plastik antara pilihan terbaik agar anda mudah membersihkan kotoran atau makanan yang mungkin tumpah ketika jamuan. Kini terdapat pelbagai rekaan pengalas meja plastik yang menarik di pasaran.

Selain itu, tempatkan beberapa meja sudut untuk meletakkan juadah dan ia antara idea yang praktikal. Jadi tetamu tidak perlu berpusu-pusu ke meja makan kerana mereka boleh menunggu giliran sambil memakan kudap-kudapan yang disediakan di beberapa meja di sudut tertentu.

Memilih hidangan kuih-muih yang diletakkan di dalam balang juga memerlukan kebijaksanaan. Sudah pasti tetamu nanti daripada pelbagai golongan termasuk kanak-kanak. Jadi pastikan kudap-kudapan dan kuih-muih anda selamat bagi mengelakkan kemungkinan mereka tercekik.

Jika jumlah tetamu terlalu ramai, penyediaan air kotak atau air tin di beberapa sudut sangat membantu bagi mengelak anda mungkin tergopoh-gapah membancuh air jika minuman sudah habis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:02 AM