ANGGOTA bomba memadam api selepas bengkel kereta terbakar. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Enam kereta rentung selepas bengkel musnah dalam kebakaran di Batu 6, Jalan Pantai, malam tadi.

Kebakaran berlaku pada 10.15 malam mengakibatkan pemilik bengkel Sulaiman Mohd Sahalan, 56, kerugian lebih RM20,000.

Difahamkan, kebakaran berlaku kira-kira setengah jam selepas pemilik bengkel bersama dua pekerjanya keluar makan.

Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Teluk Kemang, Mazlan Misran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.38 malam lalu menggerakkan tujuh anggota ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati api sudah marak membakar bengkel terbabit.

"Api berjaya dikawal beberapa minit kemudian namun bengkel terbabit musnah sama sekali.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 1:31 AM