ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kuala Krai: Lelaki maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan kereta lain di Kilometer 8, Jalan Dabong-Kuala Balah, petang tadi.

Dalam kejadian 4 petang itu mangsa, Mansor Idris, 48, yang memandu Toyota Corolla maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.

Seorang lagi mangsa yang memandu Proton Iswara patah peha kiri.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Dabong ke Kuala Balah.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadiam, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

"Pemandu kereta Toyota Corolla maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Iswara patah peha kiri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mohamad Hanif Che Khalid berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.15 petang sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian seorang mangsa yang meninggal dunia tersepit di dalam kereta.

"Bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit dan serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 11:57 PM