PENUMPANG yang membuat laporan polis. Foto Nur Shazreen Zamzuri
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Shah Alam: Empat belas penumpang Rayani Air membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam, hari ini bagi menuntut syarikat itu membayar semula wang pembatalan penerbangan kepada penumpang.

Sebelum itu kira-kira 40 penumpang mengunjungi syarikat itu di Dataran Otomobil dekat sini namun pejabatnya ditutup.

Wakil penumpang Nadimie Jamsani, 32, berkata, syarikat itu berjanji mahu memberi cek kepada mereka, hari ini namun apabila mereka mengunjungi pejabat itu ia tidak beroperasi.

"Di pintu syarikat itu ditampal notis pejabat ditutup sempena Hari Raya. Berikutan itu kami membuat laporan polis di sini dan meminta pihak berkuasa menyiasat.

"Kami juga berharap pihak berkuasa termasuk Kementerian Pengangkutan bertindak seterusnya membantu kami," katanya yang membeli tiket syarikat itu berjumlah RM3,540 pada 28 April lalu.

Pada 11 April lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan operasi Rayani Air digantung tiga bulan kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan kementerian terbabit dan DCA.

Pada 13 Jun lalu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membuat keputusan membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan patuh syariah itu sekali gus Rayani Air tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 7:17 PM