Khidmat tambah nilai kad PLUSMiles dan Touch 'n Go di Lebuh Raya Utara-Selatan ditutup bagi mengelak kesesakan di plaza tol.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Khidmat tambah nilai kad PLUSMiles dan Touch 'n Go di Lebuh Raya Utara-Selatan tidak akan beroperasi mulai esok dan sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Pengurus Wilayah Tengah PLUS Malaysia Berhad, Yusuf Abdul Aziz berkata ini antara langkah mengelak kesesakan di plaza tol PLUS.

"Bagaimanapun pusat khidmat pelanggan kami di beberapa plaza tol akan beroperasi seawal 7 pagi sehingga 10 malam setiap hari bagi kemudahan pengguna membuat urusan tambah nilai.

"PLUS ingin menasihatkan pengguna menambah nilai sebelum memulakan perjalanan dan ini boleh dilakukan di banyak tempat termasuk di stesen minyak, ATM dan pelbagai lagi," katanya.

Ekoran jangkaan pertambahan 1.6 juta kenderaan di Lebuh Raya PLUS pada musim perayaan ini, beberapa kawasan dijangka mengalami kesesakan lebih daripada biasa.

Yusuf berkata antara kawasan yang dijangka sesak di sebelah utara ialah dari Slim River sehingga Kuala Kangsar manakala bagi laluan ke selatan dari Pedas Linggi sehingga Melaka.

Menurutnya, kesesakan berikutan laluan trafik dari empat atau tiga lorong terpaksa berhimpit untuk melalui dua lorong, selain perlu melalui kawasan mendaki,

"Bagi menyuraikan kesesakan trafik, PLUS bersedia membuka laluan kontra di kawasan berkenaan. Namun jika kesesakan amat teruk, kita akan minta pengguna lebuh raya menggunakan laluan alternatif,” katanya.

Beliau mengingatkan pengguna lebuh raya agar tidak menyalahgunakan lorong kecemasan atau akan berdepan tindakan tegas pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 6:35 PM