PETER Bellew. FOTO arkib NSTP
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) hari ini mengumumkan pelantikan Peter Bellew sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG serta Malaysia Airlines Berhad (MAB) berkuat kuasa 1 Julai 2016.

Keputusan berkenaan dibuat melalui satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Jun lalu yang meluluskan pelantikan Bellew bagi menggantikan Christoph Mueller.

Bellew ketika ini bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat penerbangan itu.

MAB dalam kenyataan berkata, Mueller yang meletak jawatan pada 10 Mac lalu dan sedang menjalani tempoh notis sehingga 9 September ini akan mula bercuti dan melepaskan jawatan sebagai sebahagian ahli Lembaga MAB berkuatkuasa 1 Julai 2016.

"Pelantikan Bellew terhasil selepas proses pemilihan kepimpinan yang dilaksanakan oleh Khazanah Nasional dengan Lembaga Pengarah MAB dan kerajaan.

“Beliau ketika ini adalah COO syarikat juga telah terbabit bersama-sama dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines yang sedang berlangsung dan akan memastikan kesinambungan usaha-usaha penstrukturan syarikat di bawah 12 Pelan Pemulihan MAS (MRP) untuk tempoh lima tahun yang dilancarkan 29 Ogos 2014," katanya.

Sebelum menyertai MAB, Bellew berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran dan Timbalan Pengarah Operasi Penerbangan di Ryanair serta mempunyai pengalaman industri lebih 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 6:54 PM