DE Bruyne (kanan) jangkakan sokongan padu penyokong Belgium.
AFP

Toulouse: Kevin De Bruyne mahu menjadikan pertembungan suku akhir menentang Wales di Stadium Lille kira-kira 100 kilometer dari sempadan Belgium seperti bermain di tempat sendiri.

Kehadiran besar penyokong dijangka memenuhi bandar Perancis untuk menyaksikan pasukan mereka yang dilabelkan De Bruyne sebagai ‘skuad penuh teknikal dan pertahanan bijak’.

Belgium berada pada tahap terbaik apabila membenam Hungary 4-0 Ahad lalu yang menyaksikan penyerang Chelsea Eden Hazard menunjukkan inspirasi sebagai ketua pasukan.

De Bruyne turut mengharapkan pasukannya mampu mengulangi persembahan cemerlang ketika perlawanan itu.

“Saya tidak sabar untuk perlawanan ini yang sama seperti bermain di tempat sendiri kerana begitu hampir dengan sempadan Belgium.

“Kami menjangkakan ramai penyokong akan datang. Kami harap mereka akan datang untuk perlawanan ini,” katanya.

Persembahan cemerlang menentang Hungary di Toulouse akan menyuntik semangat Belgium untuk mengulangi pencapaian mara ke final pada 1980 sebelum tewas kepada Jerman Barat.

Pada perlawanan menentang Hungary, De Bruyne melakukan hantaran cantik menerusi sepakan percuma kepada Toby Alderweireld untuk memberikan gol pertama seawal minit ke-10.

Ketika pelbagai pujian menghujani Belgium, jurulatih mereka Marc Wilmots segera memberikan peringatan berhati-hati terhadap pasukannya.

“Kami berada di suku akhir, tapi belum lagi menang apa-apa,” kata Wilmots yang bakal kehilangan pemain pertahan Thomas Vermaelen selepas mengutip dua kad kuning yang menyebabkannya digantung satu perlawanan.

Bagaimanapun, Belgium menuju ke Lille sebagai pasukan pilihan dan Jurulatih Wales Chris Coleman juga gembira selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Ireland Utara sebagai pasukan pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:25 AM