PASANGAN anak-beranak Gab dan Gary banggakan Filipina.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Tahun lalu, penganjuran rangkaian konsert MTV iaitu MTV Music Evolution Manila barangkali masih samar objektifnya. Ketika itu, penonton hadir atas dasar mahu berhibur dan melihat penyanyi kesukaan mereka.

Bagaimanapun, edisi kali ini yang berlangsung di SM Mall of Asia Concert Grounds, Manila, Filipina semakin jelas hala tujunya. Bukan sekadar konsert semata-mata namun acara itu turut mempromosikan kehangatan muzik ‘dance pop’.

Seperti kita sedia maklum, evolusi muzik pop berlaku sejak tahun 80-an sehinggalah saat ini. Sepanjang tempoh itu, ramai bintang mencipta fenomena termasuk Michael Jackson dan Madonna.

MTV Music Evolution Manila 2016 meneruskan kesinambungan kehebatan genre itu dengan menampilkan barisan artis hebat pada acara bermula jam 7 malam. Meskipun hujan lebat, lebih 26,000 penonton tetap bersemangat menyaksikan acara gah itu.

Meskipun penghibur pada malam itu bukan calang-calang, peminat di Filipina teruja menantikan kemuculan bintang K-Pop. Buktinya, kumpulan idol, Apink mendapat sorakan dan tepukan gemuruh tatkala berada di atas pentas.

Hakikatnya, sejak petang lagi jeritan berkenaan berkumandang dari luar tapak konsert apabila lagu Apink dimainkan. Penonton yang berbaris seakan-akan ‘gila’ melihat video kumpulan itu dimainkan di skrin gergasi.

Ternyata, Apink menang sorak jika dibandingkan dengan artis lain. Sokongan itulah barangkali menjadi penyuntik semangat kepada enam anggotanya untuk tampil lebih bersemangat sewaktu slot mereka.

Semakin kuat jeritan penonton, semakin lincah aksi Apink di atas pentas. Tampil dengan gaya kelasi, Apink berjaya menggabungkan imej manis, naif dan jalanan yang menjadi identiti mereka selama ini. Lagu yang dipersembahkan kumpulan ini adalah Remember, Mr Chu, Luv, Attracted to You, dan No No No.

Bagaimanapun, daripada segi impak persembahan kredit perlu diberikan kepada dua nama besar dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Far East Movement (FEM) dan One Republic.

FEM wajar dijadikan contoh terbaik apabila tampil cemerlang setiap kali beraksi. Pendek kata mereka punya pakej lengkap sebagai penghibur.

Kehadiran mereka menghangatkan lagi suasana acara dengan deretan lagu berhantu Like A G6, Push, Bang It To The Curb, When The Funk Drop, Turn Up The Love, Illest, Rattle dan Rocketeer.

One Republic yang menjadi penutup konsert malam itu juga tampil dengan magis sendiri. Semua tahu kumpulan berkenaan antara pemuzik yang kerap hadir dengan karya mengagumkan.

Band dari Colorado, AS itu berjaya mencuri perhatian penonton meneruskan persembahan jujur mereka. Selain menyanyikan lagu Love Runs Out, Counting Stars, If I Lose Myself, Secrets dan Apologize, band ini turut menyampaikan karya terbaru berjudul Wherever I Go.

Pendatang baru, Bebe Rexha pula teruja dapat beraksi buat julung kalinya di Manila. Dia semakin bersemangat apabila penonton turut sama menyanyikan lagu Take Me Home, Monster, Hey Mama, Me, Myself & I dan No Broken Hearts.

Artis Filipina juga berbisa

Konsert yang dihoskan empat pengacara MTV Asia dan Filipina iaitu Hanli Hoefer, Alan Wong, Yassi Pressman serta Andre Paras ini turut memaparkan kehebatan penyanyi tempatan.

Kolaborasi dua beranak, Gary dan Gab Valenciano membuka tirai acara dengan persembahan unik. Gabungan muzik kulintangan dan kugiran, tenaga yang ditonjolkan cukup luar biasa.

Tidak hairanlah Gab diberi jolokan Mr Pure Energy kerana bakat tariannya memang menakjubkan. Sementara itu, Gary pula membuktikan umur bukan penghalang untuknya beraksi seperti orang muda di pentas.

Begitu juga pasangan duo yang menjadi kegilaan di Filipina iaitu James Reid dan Nadine Lustre. Suasana bertukar menjadi romantik apabila pasangan itu mengambil alih pentas.

Sarat dengan aksi manja dan menggoda, persembahan mereka membuai emosi penonton. Pasangan ini mengalunkan lagu hit Para-Paraan, Huwag Ka Nang Humirit, Randomatic, Paligoy-Ligoy, Bahala Na, Hanap-Hanap, No Erasa dan Diary ng Panget.

Konsert MTV Music Evolution Manila 2016 bakal ditayangkan di saluran MTV Asia (Astro 715) pada 19 Julai, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:01 AM