Yuna mahu sesuatu yang baru dan segar. FOTO NSTP/MUNIRA ABDUL GHANI
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Saya hanya mahu mencipta sesuatu yang baru dan segar,” kata penyanyi Yuna ketika diminta mengulas mengenai album ketiganya, Chapters yang diiktiraf sebagai antara 20 album R & B terbaik oleh pengarang majalah antarabangsa terkemuka Rolling Stone iaitu Mosi Reeves, baru-baru ini.

Yuna, 29, ketika dihubungi berkata, ketika menghasilkan album berkenaan dia hanya fokus untuk menghasilkan lagu-lagu yang dekat dengan hatinya.

Menurutnya, satu ketika dia pernah kecewa dengan situasi industri muzik tanah air yang hanya mahukannya menghasilkan lagu-lagu terkini dan sesuai untuk dimainkan di stesen-stesen radio.

“Ketika menyiapkan album Chapters, saya buang jauh-jauh perasaan itu. Saya hanya fikir untuk mencipta lagu-lagu yang sememangnya dekat di hati saya.

“Saya sangat teruja dengan penghasilan lagu di dalam album itu dan seronok ketika berpeluang bekerjasama dengan penerbit ternama seperti Fisticuffs, Robin Hannibal dan DJ Premier,” katanya.

Album Chapters turut memuatkan lagu Crush yang menyaksikan Yuna berduet dengan bintang R & B Amerika Syarikat, Usher.

Reeves dalam tulisannya menerusi artikel 'Best R & B Albums of 2016 So Far' menyifatkan album itu berjaya memaparkan Yuna sebagai artis yang memiliki bakat penulisan lirik yang luar biasa.

“Album Chapters yang semakin popular dengan penampilan khas Usher dan Jhene Aiko menunjukkan kepakaran penulisan bintang pop Malaysia itu. Yuna hanya memerlukan satu atau dua lagu popular untuk mendapat perhatian arus perdana,” katanya.

Selain Yuna, majalah berkenaan turut menyenaraikan penyanyi antarabangsa popular lain seperti Beyonce, Rihanna, Robert Glasper dan Eric Belinger.

Yuna berkata, dia gembira dengan pengiktirafan daripada Rolling Stone dan tidak menyangka album berkenaan mampu meletakkannya sebaris dengan Beyonce yang menduduki tangga pertama menerusi album Lemonade.

Dalam pada itu, selain sibuk mempromisikan album terbarunya itu, Yuna juga dalam persiapan untuk mengadakan konsert jelajah di Eropah pada September ini.

“Insya-Allah saya akan hasilkan lebih banyak lagu baru selepas ini. Kejayaan album ini adalah permulaan untuk karier seni saya.

“Saya akui perjalanan saya masih lagi jauh dalam memastikan nama benar-benar kukuh di persada antarabangsa . Doakan semoga saya berjaya dan dapat mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 6:23 PM