KAKAK mangsa (kanan) menunjukkan kesan bengkak yang dialami oleh adiknya akibat dipukul sekumpulan pelajar lelaki kerana salah faham. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Pelajar lelaki tingkatan satu cedera di belakang badan selepas ditendang pelajar lelaki sebaya dipercayai akibat salah faham, semalam.

Kejadian berlaku 3.30 petang ketika sesi persekolahan di sekolah menengah di Jitra, ketika mangsa dalam perjalanan ke makmal sains selepas menunaikan solat Zuhur.

Bagaimanapun, mangsa didatangi sekumpulan pelajar tingkatan satu dan dua sebelum seorang daripadanya tidak berpuas hati lalu menumbuk mukanya dan menendang perut mangsa sehingga terjatuh.

Akibat itu, mangsa tidak boleh bangun dan kumpulan pelajar terbabit melarikan diri sebaik ternampak guru kebetulan lalu di kawasan terbabit.

Pihak sekolah kemudian memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa sebelum bapa saudaranya tiba di sekolah lalu membawa anak mereka ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa bagaimanapun dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut malam tadi sebelum ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Hadi Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, berkata siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 4:30 PM