BERKONGSI rezeki dengan bersedekah kepada mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan yang mulia.
Mohd Rizal Azman Rifin

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia untuk berada dalam bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Kita juga terus diberikan kesihatan untuk terus melakukan amal ibadat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya, Ramadan bukan seperti bulan lain kerana ia boleh kita ibaratkan sebuah sekolah ataupun madrasah yang memberikan pendidikan kepada kita. Dalam bulan inilah kita dididik dengan pelbagai aspek dan hikmah, antaranya:

l

Ramadan mendidik diri kita dengan sikap amanah

Amanah dalam erti kata kita melaksanakan ibadat puasa dengan penuh kejujuran semata-mata kerana Allah.

Hal ini diperakui Syeikh Dr Wahbah Zuhaili, seorang ulama dan penulis yang tidak asing lagi yang antara lain katanya: “Puasa mengajar kita rasa beramanah dan muraqabah di hadapan Allah, baik dengan amalan yang nampak mahupun yang tersembunyi.

“Maka, tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa daripada melakukan hal yang dilarang dalam waktu berpuasa melainkan Allah.”

Kekuatan peribadi dengan nilai amanah kepada Allah dalam melakukan ibadat puasa itu perlulah diteruskan pada bulan selain Ramadan. Rugilah andai ia lenyap begitu saja sebaik memasuki bulan lain.

l

Puasa mendidik diri dengan disiplin yang tinggi

Apabila berpuasa, kita dibataskan waktu untuk bersahur dan berbuka. Malah, masuk saja waktu berbuka kita diminta supaya menyegerakannya manakala waktu makan sahur pula kita dianjurkan supaya melewatkannya.

Malah, kita dikehendaki supaya menjaga diri daripada mengucapkan perkataan kotor, sia-sia, berbohong, mengumpat dan mencerca yang lain.

Nabi SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa tidak meninggalkan perkataan dusta dan mengamalkannya, maka tiada hajat bagi Allah pada meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari)

Disiplin diri pada Ramadan ini sangat baik untuk kita perhatikan. Hidup kita lebih teratur dan yang paling penting kita lebih memahami erti ketaatan yang ditekankan kepada kita.

l

Mendidik jiwa dengan kesabaran

Dalam riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Apabila seseorang menghina atau mencelanya, hendaknya dia berkata: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’”

Usah terjebak dalam perangkap emosi apabila diasak dengan kata-kata buruk. Bersabarlah. Puasa mendinding diri kita daripada bertindak sesuka hati.

Sebenarnya, jika diperhatikan pada Ramadan ini kita banyak bersabar. Kita bersabar dengan kelaparan, kesukaran dan kemiskinan. Kadangkala kita bersabar dengan kerenah peniaga dan ragam pemandu di jalan raya.

Firman Allah bermaksud: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan solat serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terang- terang dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik, mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.” (Surah ar-Ra’d, ayat 22)

Marilah kita menghayati pendidikan Ramadan dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan ia menjadikan diri kita lebih baik selepas ini. Insya-Allah.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 8:51 AM