4 personaliti eGG Network kongsi pengalaman bidang pengacaraan lebih terarah pada sukan elektronik. Dari kiri, Pinda, Faraz, Danelie dan Mu’adz.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Mengintai perkembangan sukan elektronik negara, ia masih dikategorikan baru dan sedang berkembang. Kita sebagai anak muda dianggap bertuah dapat menyaksikan lapangan ini menuju ke peringkat lebih baik seterusnya mampu mencetuskan fenomena tersendiri.

Bagi memastikan kita terus bergerak laju ke arah itu, lapangan ini perlu diisi dengan lebih ramai bakat tempatan dan tenaga kerja di belakang tabir yang komited.

Danelie Antoinette Purdue bersama tiga lagi rakan sekerjanya, Pinda Rika Dorji, Abdul Muadz dan Faraz Shababi adalah mereka yang tergolong dalam kategori ini.

Demi memenuhi keperluan industri semasa, empat anak muda yang juga personaliti eGG Network ini mengatur langkah berlainan dengan memilih bidang pengacaraan khususnya dalam lapangan sukan elektronik.

Dalam pertemuan eksklusif bersama mereka di Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini masing-masing hanya tersenyum dan tergelak sesama sendiri ketika diajukan persoalan itu. Apakah yang membuatkan seseorang itu mencintai bidang pengacaraan dalam lapangan baru?

Penyampaian berbeza

Kata Danelie yang berusia 21 tahun dan berasal dari negara kanggaru ini, semuanya bermula daripada minat.

“Melihat industri sukan elektronik di sini, membuka mata saya kerana ia mempunyai potensi, cuma kita perlu lebih ramai bakat tempatan dalam semua hal termasuk pengulas, penganalisis dan hos.

“Saya jenis memang suka bercakap kerana berperwatakan ceria. Diberi peluang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja di eGG Network adalah pengalaman paling berharga buat saya,” katanya yang memang meminati ‘casting’ sejak dulu.

Dek cabaran menjadikan sukan elek–tronik mudah diterima dan dinikmati sama seperti sukan biasa, Danelie akui sukar untuk berbuat demikian.

“Disebabkan ia terlalu baru dan banyak dipelopori anak muda, jadi cara penyampaian itu sudah tentunya berlainan. Tidak semua tahu bagaimana permainan itu berfungsi dan itulah tugas saya untuk memberi kefahaman kepada penonton.

“Cara saya, kita kena mencipta pertalian emosi dengan penonton kerana mereka mungkin tidak mengenal langsung pasukan yang bertanding.

“Saya perlu melakar kisah, menceritakan sejarah, kejayaan dan kejatuhan pasukan dengan menyertakan emosi tertentu agar penonton boleh ‘relate’ dan setia menonton perlawanan. Itu antara cabarannya,” katanya.

Terlalu meminati Dota 2

Lain pula bagi Pinda Rika Dorji dari Bhutan yang menyifatkan permainan video Dota 2 adalah sebab utama dia memilih landasan ini. Kata gadis berusia 22 tahun ini yang juga personaliti di Facebook dengan lebih 50,000 ‘like’, inilah masa sesuai untuk dia menonjolkan bakatnya.

“Saya akui, Dota 2 memang sebahagian rutin harian malah menjadi cebisan berharga dalam hidup saya. Di media sosial saya gemar menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan Dota 2, tidak kisah apa kandungannya asalkan ia menghiburkan peminat.

“Pada masa sama, eGG menyediakan landasan sesuai untuk saya tonjolkan kreativiti dengan percambahan idea baru untuk lebih ramai golongan muda di luar sana. Teruja rasanya dapat jadi sebahagian daripada penggiat industri,” katanya yang mula bermain Dota 2 sejak tahun 2013.

Sekiranya ada kelapangan, Pinda bermain Dota 2 bukan sekadar ingin berhibur tapi membuktikan permainan ini bukanlah terhad kepada lelaki dan ia terbuka kepada semua.

Buktikan sesuatu

Faraz Shababi, remaja berusia 18 tahun berasal dari Iran ingin mencabar dirinya dengan pelbagai eksperimen baru selain cuba membuang rasa malu depan kamera.

“Ada yang skeptikal malah bertanya jika saya membuat pilihan yang betul. Tapi untuk diri saya sendiri, saya melihat e-sukan ini besar dan patut dikembang–kan pengaruhnya.

“Justeru, saya cabar diri buang rasa malu yang melekat sejak kecil dengan melatih diri berucap dan sertai majlis berkaitan. Setidak-tidaknya saya tahu di mana tahap saya untuk menyumbang dalam industri,” katanya yang meminati permainan League of Legends.

Menanam harapan yang tinggi, Faraz berharap kemunculannya di kaca televisyen dapat menarik lebih ramai golo–ngan muda untuk menjadi pemain ‘game’ yang komited dan disajikan pelbagai maklumat dan kandungan menarik di televisyen kelak.

Sementara itu, jejaka yang tidak asing dalam industri hiburan, Abdul Mu’adz, 28, turut melahirkan impian sama seperti yang lain.

“Sudah lama rasanya dalam industri hiburan dan mungkin ini menjadi permulaan baru saya untuk alih angin ke bidang lain pula.

“Sebagai ‘gamer’ yang secara tidak langsung terjebak dengan lapangan sukan elektronik, saya akui kini ia menjadi fasa baru dalam hidup saya,” katanya.

Kata Muadz, biarpun sudah lama dalam industri namun perjalanan kali ini sedikit mencabar berikutan dirinya tidak begitu arif berkenaan lapangan baru ini.

“Saya perlu ambil masa untuk sesuaikan diri dengan perkara baru tapi saya juga seorang yang suka belajar dan bertanya jadi tidak ada masalah rasanya.

“Mudah-mudahan apa yang disampaikan kepada penonton nanti dapat memberi inspirasi kepada mereka dan merapatkan komuniti ‘gaming’ dengan lebih berkesan,” katanya.

Terbaru, Mu’adz lebih berkarisma sebagai hos untuk siaran peringkat kelayakan bahagian Asia Tenggara bagi Kejohanan The International Dota 2 di saluran Astro 808 (eGG Network).

Penulis ucapkan selamat maju jaya kepada Pinda, Mu’adz, Danelie dan Faraz. Semoga kehadiran anda berempat dapat membantu meningkatkan industri sukan elektronik tempatan!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 5:01 AM