HUBUNGAN Vardy (dua dari kiri) bersama kapten England dikatakan tegang.
AFP

Nice, Perancis: Pengurus England Roy Hodgson menjelaskan tiada sebarang masalah membabitkan kapten Wayne Rooney dan Jamie Vardy selepas timbul laporan mengenai hubungan tegang kedua-dua penyerang itu.

Akhbar British The Times melaporkan Rooney meminta Vardy menasihati isterinya, Rebekah supaya lebih bersikap merendah diri - merujuk kepada kolumnya dalam surat khabar, penampilan di televisyen serta aktiviti media sosial.

Namun apabila soalan itu diajukan kepada Rooney pada sidang media menjelang perlawanan pusingan kedua bertemu Iceland, Hodgson pantas tampil memberi penjelasan.

“Saya akan menjawab soalan ini bagi pihak Rooney. Saya tidak faham apa yang anda maksudkan.

“Sememangnya tiada sebarang masalah antara Wayne Rooney dan Jamie Vardy. Malah, mereka berdua sahabat baik ketika di atas padang dan di luar.

“Saya nasihatkan Rooney tidak memberi sebarang komen. Ia cerita yang berjaya diputarbelitkan oleh sesetengah pihak tapi tiada kepentingan bagi kami,” katanya.

Rooney kemudian tidak menjawab soalan itu.

Hodgson turut diajukan soalan mengenai keputusan Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.

“Brexit isu besar membabitkan negara, tapi fokus kami ketika ini adalah mengenai bola sepak.

“Kami melakukan undian untuk memberikan pandangan kami, begitu juga negara kami. Tapi ia tidak akan menjejaskan persediaan kami untuk perlawanan seterusnya.

“Kami perlu menerimanya apabila pulang nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 4:58 AM