Sharul (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek dan keadaan kereta dinaiki suspek. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Mior Azlan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki berusia 42 tahun yang amat dikehendaki polis bersabit jenayah samun ditahan selepas dikejar dua anggota polis sejauh 3 kilometer di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, Taman OUG, di sini, 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, suspek bersama seorang lagi rakannya yang menaiki kereta diminta berhenti oleh dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.

"Suspek melarikan diri ketika diarahkan berhenti menyebabkan dua anggota polis yang menunggang motosikal mengejar mereka.

"Seorang daripada anggota polis melepaskan lapan das tembakan dan dua daripada tembakan itu mengenai tayar hadapan kereta dan bahagian pintu," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, suspek yang gagal mengawal kenderaannya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan pemandu kereta berjaya ditahan manakala rakannya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 1:58 PM