KEADAAN kereta mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Kemaman: Doktor lelaki parah selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 324.8 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat susur keluar Kerteh, 12 tengah malam tadi.

Tuan Badrulzaman Tuan Ismail, 28, yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang patah kaki dan tangan kanan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis BMW yang dipandu mangsa terbabas dan melanggar penghadang kiri lebuh raya.

Berikutan itu, kereta mangsa dikatakan beberapa kali berpusing dan merintangi jalan.

Pada masa yang sama, sebuah pacuan empat roda datang dari arah sama gagal mengelak sebelum merempuh bahagian sebelah kiri kereta mangsa.

Pemandu pacuan empat roda terbabit, Abu Al Idqam Ismail, 32, bersama isterinya, Nur Baiti Aqmar Mahmod, 32, dan anak lelakinya, Muhammad, 10 bulan hanya cedera ringan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka,Mohd Anuar Khalid berkata, sepasukan lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, doktor terbabit yang tersepit di tempat duduk pemandu kemudiannya dibawa keluar sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 10:58 AM