Urumqi: Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas lapan orang berkait dengan beberapa serangan yang menyebabkan kematian di Xinjiang.

Stesen televisyen CCTV melaporkan, lima lagi defendan dijatuhi hukuman mati tertunda - hukuman yang biasanya ditukar kepada penjara seumur hidup - dan empat lagi dipenjara dengan penggal berbeza.

Dalam satu kejadian serangan di stesen kereta api di Urumqi, ibu negeri Xinjiang, seorang terbunuh, 79 lagi cedera.

Kejadian berlaku pada hari terakhir lawatan Presiden Xi
Jinping ke wilayah itu, April lalu.

Bulan berikutnya, 43 orang mati dan lebih 90 lagi cedera apabila penyerang melontar bahan letupan dan merempuh dua kenderaan di sebuah pasar, juga di Urumqi.

Empat daripada yang mati itu penyerang.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rakyat di Urumqi itu membawa jumlah hukuman mati yang ada kaitan dengan keganasan di Xinjiang kepada 50 sejak Jun lalu.

Sepanjang setahun lalu, sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh dalam beberapa siri pertempuran dan serangan di wilayah itu yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Beijing menyalahkan kejadian itu ke atas ‘pemisah’ dan ‘pengganas’ tetapi kumpulan hak asasi berkata, keganasan berpunca daripada penindasan Beijing ke atas masyarakat Uighur, penduduk asal wilayah berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:43 AM