MEARIA
myMetro

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan deposit keseluruhan Sijil Simpanan Premium (SSP) mencecah RM3.6 bilion menjelang akhir tahun ini berbanding sasaran awal RM3 bilion.

Naib Presiden Kanan atau Ketua Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komunitinya, Datuk Mearia Hamzah berkata, angka itu didorong kempen 7 Juta Ringgit, 7 Jutawan, 7 Bulan (777) yang menawarkan ganjaran bulanan RM1 juta kepada pemegang SSP bertuah sehingga Disember depan.

“Sebelum ini kami hanya menawarkan ganjaran RM1 juta sekali dalam setahun untuk pemegang akaun SSP.

“Melihat kepada sambutan dan minat orang ramai, BSN mengambil peluang menawarkan ganjaran sama setiap bulan, selama tujuh bulan berturut-turut.

“Menerusi kempen baru ini, kami yakin dapat mempertingkatkan sasaran simpanan melebihi RM3 bilion yang sudah dicapai setakat ini,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mearia, BSN berhasrat melahirkan tujuh jutawan tahun ini, yang mana tiada bank lain menawarkan ganjaran seumpamanya.

“Selain tawaran Cabutan Istimewa 1 juta, penyimpan juga layak menyertai Cabutan Bulanan dengan simpanan serendah RM10 yang menawarkan hadiah utama Mercedes-Benz C200, BMW 320i atau Mercedes-Benz GLC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:08 AM