LEBIH 60 pensyarah dan pelajar Universiti UCSI Malaysia terbabit dalam gabungan AAD dalam membanteras denggi.
FUNGSI ‘pahlawan denggi dalam komuniti’ ialah membantu menyebarkan lagi maklumat mengenai wabak itu mengikut garis panduan WHO.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

Penyakit bawaan nyamuk seperti denggi menjadi ancaman utama kepada penduduk Malaysia dan kawasan yang mempunyai banyak tanaman dikenal pasti sebagai pusat tumpuan serangga itu, selain kawasan air bertakung.

Justeru, pencegahan awal perlu dengan membersihkan kawasan pembiakan aedes agar ahli keluarga dan masyarakat sekeliling tidak dijangkiti denggi.

Denggi ialah jangkitan bawaan vektor yang paling pesat berkembang di dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tempoh 50 tahun lalu, kadar insidennya meningkat 30 kali.

Anggaran terkini menunjukkan 390 juta jangkitan denggi setiap tahun di seluruh dunia dengan rantau ASEAN menyumbang lebih daripada 70 peratus daripada penduduk global ini dengan risiko penyakit itu.

Di Malaysia, wabak denggi merebak ke lebih banyak kawasan dan memberi kesan terhadap lebih banyak nyawa. Bilangan kematian akibat denggi dua kali ganda dalam suku pertama 2015 berbanding tempoh yang sama pada 2014, dengan jumlah pada tahun ini cenderung menaik.

Ini terbukti apabila statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan dari Januari hingga 26 Mac 2016, jumlah kes demam denggi menunjukkan peningkatan sebanyak 7.7 peratus apabila 35,060 kes dilaporkan bagi tahun ini berbanding 32,535 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Atas faktor itulah platform pelbagai-hala dikenali Allied Against Dengue (Bersama Melawan Denggi, AAD) berusaha mengukuhkan kesedaran dan capaian maklumat kepada rakyat dengan memperkasakan lebih 10,200 penyedia penjagaan kesihatan serta masyarakat untuk mengurangkan beban denggi menerusi pendidikan awam di peringkat kebangsaan.

Sejak dilancarkan pada April 2016, AAD merekrut lebih 8,500 ‘pahlawan denggi dalam komuniti’ dengan melakukan lawatan berterusan di kawasan tumpuan denggi sekitar Selangor.

Selain itu, jerayawara (roadshow) giat diadakan di institusi pendidikan, pusat beli-belah dan sebagainya.

Dengan meletakkan sasaran untuk meningkatkan pengawasan di barisan hadapan, AAD berjaya melatih lebih 1,700 penyedia penjagaan kesihatan berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penyedia penjagaan kesihatan dan ‘pahlawan denggi dalam komuniti’ ini terbabit secara aktif dalam mendidik pesakit, ahli keluarga serta komunitinya mengenai langkah pencegahan juga menangani demam denggi secara efektif.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan pembabitan di tahap yang lebih besar, Universiti UCSI Malaysia (UCSI) menyertai gabungan AAD untuk memupuk penyertaan masyarakat yang mampan dalam kalangan pelajarnya.

Di kampus UCSI, ahli gabungan AAD melaksanakan program latihan atau ‘train-the-trainers’ ke atas lebih 60 pensyarah dan pelajarnya.

Menerusi capaian di kampus, lebih 700 pelajar disahkan sebagai ‘pahlawan denggi’ untuk mewujudkan kesedaran dan membabitkan diri dengan masyarakat di sekitar kediaman mereka.

“Kami terkejut dan gembira dengan sambutan kempen AAD ini. Sejak kempen AAD dilancarkan, kami menerima banyak pertanyaan dan maklum balas daripada organisasi yang berminat untuk menjadi sebahagian program ini.

“Ia sesuatu yang mengujakan bagi UCSI untuk menggunakan kebolehan dan sumber yang ada bagi mencapai lebih ramai golongan muda di Malaysia.

“Sasaran kami adalah mengurangkan impak denggi dalam masyarakat kita. Inilah masanya untuk menggabungkan sumber dan kemahiran kolektif kami lalu menjadikan usaha ini lebih memberi impak kepada masyarakat.

“Sasaran terkini kami untuk merekrut 20 ahli pakatan pada hujung 2018,” kata Pengurus Besar bagi Penjagaan Kesihatan Pengguna GlaxoSmithKline Malaysia dan Brunei Stacy Wallace.

Gabungan itu diasaskan oleh GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK), Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Perubatan Wilayah Persekutuan Malaysia (MMA), Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) dan Guardian Health & Beauty Malaysia dengan sasaran merangsang semua kuasa dan tenaga dalam satu usaha membanteras denggi.

Pakatan AAD ini secara berterusan akan menggunakan kaedah pendidikan dan memperkasakan kempennya di seluruh negara dengan menggerakan pembabitan 8,000 penyedia penjagaan kesihatan, merekrut 50,000 ‘pahlawan denggi dalam masyarakat’ dan mendidik sejuta rakyat Malaysia.

Untuk mencapai sasaran ini, pakatan AAD akan melancarkan siri inisiatif termasuk program train-the-trainers, menyusun pusat maklumat menerusi rangkaian rakan gabungan, mengadakan jerayawara pendidikan dalam komuniti dan memantau pergerakan ‘pahlawan denggi’ menerusi Facebook.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pencegahan denggi dan pengurusannya di semua klinik yang mengambil bahagian serta farmasi yang boleh dikenal pasti dengan lambang AAD.

Kit bantuan mengesan denggi terdiri daripada termometer, tampalan nyamuk, patung permainan dan risalah mengenai denggi boleh didapati di kedai rakan kongsi AAD seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai pergerakan ini, ikuti laman Facebook AAD di www.facebook.com/aadmalaysia/ dan sertai perbualan di media sosial dengan menggunakan hashtag #AlliedAgainstDengueMY dan#BersamaMelawanDenggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:02 AM