Milan: Pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci yakin juara Itali itu mampu melakar kejutan pada saingan Liga Juara-Juara serta merampas takhta Kumpulan A daripada Atletico Madrid dalam usaha mereka melangkah ke pusingan kedua.

Kelab gergasi Turin itu menanti kunjungan juara Sepanyol awal pagi esok dengan keputusan seri menjamin tempat mereka ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2012 selepas tewas kepada Bayern Munich pada suku akhir.

Bagaimanapun Bonucci bersedia memenuhi permintaan jurulatih Massimiliano Allegri yang meminta anak buahnya melakar kemenangan dengan kelebihan dua gol untuk membolehkan mereka mengungguli saingan peringkat kumpulan.

“Kami gemar mempraktikkan corak menyerang. Pada perlawanan itu nanti kami akan cuba mencatat kemenangan dan menduduki tangga teratas kumpulan,” kata Bonucci.

Bonucci terpaksa menyesuaikan corak permainan baru pasukan selepas Allegri lebih berminat menggunakan formasi menyerang 4-3-1-2.

Pada perlawanan terakhir Juventus di saingan Liga Juara-Juara bertemu Malmo, pengendali berusia 47 tahun dari Itali itu menggunakan formasi sama yang menyaksikan mereka menang 2-0.

Allegri menggunakan formasi 3-5-2 pada perlawanan liga bertemu Fiorentina, Jumaat lalu yang menyaksikan mereka sekadar seri tanpa jaringan.

Beliau dijangka kembali menggunakan formasi 4-3-1-2 pada perlawanan awal pagi esok.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:30 AM