LIMA nelayan yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Beg kecil yang ditemui. FOTO ihsan APMM
NELAYAN ditahan ketika kerja. FOTO ihsan APMM
Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah menahan lima nelayan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah kira-kira 3.8 batu nautika dari muara Kuala Kedah, di sini, awal pagi ini.

Pengarah Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, dalam serbuan 6.45 pagi sempena Ops Pagar Laut itu nelayan terbabit berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan ketika sedang bekerja.

"Hasil pemeriksaan mendapati lima nelayan terbabit warga tempatan dan menjumpai satu beg kecil mengandungi lapan paket plastik lutsinar berwarna putih berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 19 gram bersama satu tiub straw berwarna hijau berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 0.01 gram.

"Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM138 di dalam beg itu, manakala saringan air kencing kelima-lima mereka positif dadah," katanya.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu sebanyak 300 kilogram siput retak seribu yang masih belum siap diproses.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan mengikut Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 3:46 PM