Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Polis Kota Setar menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 560 gram dan syabu seberat 20 gram dianggar bernilai RM14,000 dalam serbuan Ops Sarang di sebuah motel sekitar bandar raya ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu menahan suspek dipercayai pengedar dadah berusia antara 29 hingga 46 tahun sedang membungkus dadah di dalam bilik berkenaan.

"Pemeriksaan dalam bilik motel pula menjumpai 45 peket plastik lutsinar disyaki berisi heroin dan 18 peket plastik lutsinar berisi syabu dengan setiap satu seberat 14 gram dipercayai sedia untuk dijual kepada pelanggan," katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan menyewa rumah tumpangan, hotel bajet, chalet dan sebagainya untuk dijadikan markas pembungkusan dadah sebelum dijual bagi pasaran sekitar Alor Setar.

"Semua yang ditahan direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 1:18 PM