Tiong Lai memakaikan topi keledar kepada salah seorang pengguna motosikal yang menyertai kempen. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Bentong: Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha Ke-18 dilancarkan hari ini oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Liow Tiong Lai anjuran Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) bersama Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).

Tema kempen tahun ini ‘Fokus di jalan bukan di tangan’ menumpukan kepada peringatan melarang penggunaan telefon bimbit ketika menunggang motosikal yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya melalui risalah yang diedarkan.

Melalui kempen ini juga diadakan pemeriksaan percuma 15 ciri keselamatan untuk semua jenis motosikal serta khidmat nasihat kepada pengguna kepentingan menyelenggara motosikal bagi kelancaran ketika perjalanan.

Menurut Tiong Lai kawasan Bentong merupakan laluan utama dan pilihan ramai pulang ke Pantai Timur setiap kali menjelang Aidilfitri dan inisiatif HLYM memberi kesedaran kepada penunggang motosikal adalah satu usaha yang sentiasa disokong kementeriannya.

Selain Bentong kempen ini akan berada di Plaza Tol Sungai Dua, arah selatan di Pulau Pinang (27 Jun), Tempat Letak Kereta Aman Jaya Mall, Sungai Petani (28 Jun) dan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam arah Kuala Lumpur (30 Jun) serta setiap pengguna yang melakukan pemeriksaan motosikal akan menerima jaket keselamatan serta menukar topi keledar lama kepada baru sumbangan penaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 5:20 PM