Loji penapisan minyak milik syarikat petroleum di Batu 1, Port Dickson yang terbakar, malam tadi. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Loji penapisan minyak milik sebuah syarikat petroleum terbakar di Batu 1, di sini, malam tadi.

Kebakaran berlaku pada 9.30 malam membabitkan paip penapisan petroleum yang bocor sehingga api menjulang setinggi kira-kira 10 meter.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menerima panggilan pada 9.37 malam sebelum menggerakkan 33 anggota dan pegawai bersama tujuh jentera dari Balai Telok Kemang, Port Dickson, Seremban dan Seremban 2.

Anggota Bomba mengambil masa lebih sejam untuk memadamkan api sebelum berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.15 malam.

Api berjaya dipadamkan dan dalam proses penyejukan.

Menurut penduduk berhampiran, M Suresh, 60, dia terdengar dua letupan sebelum melihat api menjulang.

"Terkejut mendengar letupan itu, saya keluar rumah dan melihat ada loji penapisan minyak terbakar. Saya bimbang seluruh loji berkenaan meletup.

"Ini kerana rumah saya terletak hanya 300 meter dari tempat kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 12:18 AM