Sultan Ibrahim Iskandar bersama Khalid (tiga dari kanan) pada majlis berbuka puasa bersama Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama Polis Kontinjen Johor di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Baginda yang tiba pada 6.20 petang diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Keberangkatan tiba baginda disambut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Jais Sarday.

Pada majlis itu, seramai 35 anak-anak yatim, 25 pesara polis serta 40 balu pegawai dan anggota polis menerima sumbangan sebagai tanda mengenang jasa dan pengorbanan kepada mereka yang mengabdikan diri dan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara yang disampaikan Raja Zarith Sofiah.

Sementara menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa, diperdengarkan tazkirah sempena Ramadan disampaikan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut.

Baginda kemudian berangkat meninggalkan majlis kira-kira 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 9:15 PM