BERBARIS memberi tabik hormat sewaktu memulakan pelayaran.
BOT laju mengiringi kapal (KPD) Setia.
MEMBACA doa sebelum berbuka puasa.
Rashidah Ibrahim
rencana@hmetro.com.my

Menyertai Program Berbuka Puasa dan Singgah Sahur bersama 20 anggota polis marin di atas Kapal Polis Diraja (KPD) Setia, minggu lalu, memberi pengalaman berguna kepada penulis.

Program sehari semalam itu bermula dengan kunjungan pada sebelah pagi membabitkan dua artis, dua penunggang motosikal berkuasa besar, tiga wakil media dan petugas Anita Entertainment and Production (AEP) melalui siri program Santai Selebriti dan Media, Salam Armada Raya (Siri 56).

Keterujaan menyertai program bermula sebaik kami sampai dan menaiki KPD Setia yang sedang berlabuh di Pangkalan Polis Marin, Pelabuhan Klang dan dibawa melawat segenap ruang di dalam kapal berkenaan.

Kapal itu dibahagikan kepada tiga aras dilengkapi bilik tidur dan kamar berhawa dingin, bilik mandi dengan kemudahan air panas, bilik perbincangan dan santai, ruang dapur, stor makanan serta mesin basuh. Di dalamnya dilengkapi pelbagai jenis senjata api yang diperlukan untuk kegunaan kawalan keselamatan serta kren untuk mengangkat barang berat.

Kami menunggu jam 3.30 petang untuk memulakan pelayaran dan merakam acara rasmi sewaktu kapal berlepas, iaitu tabik hormat anggota marin terhadap pegawai atasan setiap kali hendak berlepas. Turut hadir Ketua Bahagian Risikan Operasi Wilayah 1 DSP Rosli Sufian.

Sewaktu kapal belayar, anggota dikehendaki beratur di atas dek dan memberi tabik ke arah Pegawai Pemerintah KPD Setia sehingga melepasi pangkalan.

Difahamkan kapal berukuran 42 x 8 meter dan ruang kargo boleh memuatkan 100 tan itu adalah aset terbesar Pasukan Polis Marin.

Kapal bertolak dari Pangkalan Marin di Pulau Indah menyusuri North Port ke perairan Kapar. Kapal kemudian berlabuh di perairan Kapar jam 5 petang untuk berbuka puasa.

Tiga tetamu termasuk penulis belayar bersama KPD Setia sementara yang lain menaiki dua bot laju mengiringi kapal untuk membolehkan mereka merasai pengalaman menggunakan bot polis, selain merakam gambar aset kapal itu di tengah lautan. Jenis bot yang diguna ialah PSC 16 & RH 15.

Sampai di tempat berlabuh, media dan selebriti yang menaiki bot berpindah ke atas kapal, menyertai anggota polis yang sibuk bergotong-royong menyediakan makanan untuk berbuka puasa di dek belakang.

Siapa sangka tangan anggota polis marin yang memegang senjata dan bermain dengan peralatan kapal saban hari itu juga tangkas di dapur.

Sarjan Mejar Mohd Arifin Tumiran, 57, selaku Ketua Jentera berkata: “Hanya dua anggota mengetuai kerja di dapur, namun biasanya anggota tidak bertugas membantu kerja memasak. Mereka memasak mengikut bekalan yang ada untuk dimakan bersama anggota bertugas.”

Antara hidangan istimewa berbuka puasa hari itu ialah kurma ayam dan pencuci mulut agar-agar santan.

Selepas berbuka, diadakan demonstrasi takbir raya diikuti solat fardu Isyak dan solat sunat Tarawih.

Sewaktu dalam pelayaran pada sebelah petang, kami mengamati aktiviti kerja kru mengendalikan kapal termasuk melepas dan melabuhkan sauh serta mengawal persekitaran. Kami bernasib baik dapat melihat aktiviti rutin anggota marin memeriksa bot asing yang memasuki perairan negara.

Sebuah bot ‘barter trade’ yang membawa barang dagangan dari Indonesia ditahan untuk diperiksa dokumen kebenaran belayar dan jenis barang dibawa. Hasil pemeriksaan mendapati semua mereka ada dokumen perjalanan.

Keadaan laut pada hari itu tenang, justeru tiada yang mabuk. Bagaimanapun, kapal bertolak pulang ke pangkalan lebih awal kira-kira jam 2.30 pagi disebabkan kedudukan sauh yang tidak sesuai.

Kami bersahur sekitar jam 4 pagi iaitu sewaktu kapal hampir sampai ke pelabuhan.

Program keseluruhan berakhir pagi esoknya. Selepas membuat tinjauan terakhir di ruang pandu, penulis mengambil kesempatan menemu bual Mohd Jaafar selaku Juragan atau Penyelia Jurumudi I kapal berkenaan dan anggota lain.

Sarjan Mejar Hashim Ibrahim, 52, dan Koperal Mohd Redzuan Adam, 32, berkata, kesedihan berpuasa mahupun beraya jauh dari keluarga hanya terasa pada tahun pertama bekerja.

“Tahun-tahun berikutnya memang ada teringatkan keluarga di rumah, namun kesedihan tidak sama seperti pada tahun pertama,” kata Mohd Redzuan.

“Bagi saya yang sudah lama bekerja di laut sudah biasa berjauhan dengan ahli keluarga dan tiada terasa sangat kesedihan,” kata Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 12:54 PM