ROSMA.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Selepas berumah tangga dan menceburi bidang perniagaan, nama penyanyi yang digilap dari program Akademi Fantasia musim pertama (AF1) Rosma seolah-olah menyepi.

Malah, kelibatnya dan suami, Khai yang juga bekas peserta program AF1 juga sudah jarang muncul dalam acara mahupun program hiburan.

Justeru, ada segelintir pihak mendakwa Rosma dan Khai sudah bersara dari bidang nyanyian.

Namun, Rosma ketika ditemui baru-baru ini menafikan mereka sudah bersara, tetapi masih sibuk memenuhi undangan persembahan membabitkan majlis korporat dan persendirian.

“Saya akui apabila artis jarang muncul di kaca TV, ramai menganggap kami sudah meninggalkan karier seni. Sebenarnya, saya dan suami belum bersara dari bidang nyanyian yang juga periuk nasi kami sejak dulu.

“Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang nyanyian kerana ia memang minat saya sejak dulu. Terbabit dalam perniagaan pula untuk jaminan masa depan.

“Pada masa sama, rata-rata undangan persembahan yang dijayakan adalah secara tertutup. Selain memenuhi undangan persembahan, saya juga terbabit untuk mengacarakan program untuk stesen TV seperti Go Shop di saluran Astro,” katanya.

Rosma berkata, dia juga merancang untuk muncul dengan single baru tetapi masih dalam perbincangan lagi.

Kali terakhir dia tampil dengan single ialah menerusi duet bersama Khai pada 2014 dan album berjudul Demi Kasih Ini pada 2007.

“Buat masa ini, saya masih mencari lagu yang sesuai dan memenuhi cita rasa pendengar sekarang. Kami juga pernah mengeluarkan single duet Warna Cinta dan Dengan Sekali Lafaz.

“Saya juga sedar bukan mudah untuk menghasilkan single yang boleh menarik hati pendengar. Saya juga ingin menghasilkan single yang boleh bertahan lama dan sentiasa diputarkan di semua stesen radio dan bukan stesen radio tertentu saja,” katanya.

Mengulas mengenai perniagaannya, Rosma yang mengusahakan produk pelangsingannya berkata, produk berkenaan sudah pun menembusi pasaran Brunei, Singapura dan Kemboja.

Malah, Rosma yang kini tampil langsing dan anggun juga menjadi testimoni untuk produknya sendiri.

“Maklum balas daripada pengguna sangat menggalakkan. Saya memang selesa untuk kekal langsing sebab mudah untuk menggayakan pakaian rekaan pereka fesyen untuk persembahan pentas.

“Apa yang kami kongsi kepada orang ramai mengenai maklum balas pengguna adalah daripada ketelusan mereka sendiri,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Khai, pasangan ini memiliki dua cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, 7, dan Nur Amani Damia Mohd, 2.

Jayakan program amal

Setiap kali menjelang Ramadan, Rosma tidak akan melepaskan peluang untuk menjayakan program amal.

Sempena Ramadan kali ini, Rosma turut menjayakan program amal bersama Yayasan Bina Insan Malaysia dengan kerjasama Eksklusif Pro Sdn Bhd dan Quality Hotel City Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program ini untuk membantu golongan yang memerlukan terutama pesakit biliary atresia, Muhammd Muez Fahyeem Mohd Nur Hisyam yang memerlukan dana sebanyak RM250,000 untuk menjalani pembedahan di India selepas Aidilfitri nanti.

“Saya sangat berterima kasih kepada pengunjung yang datang berbuka puasa sambil menghulurkan sumbangan ikhlas,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 11:48 AM