RAMSEY mampu hadir ancaman buat pasukan lawan jika tidak dikawal rapi.
AFP

Paris: Kemampuan Aaron Ramsey muncul pemain terbaik perlawanan ketika Wales menang 3-0 ke atas Russia di Euro 2016 memberi isyarat bahawa skuad kendalian Chris Coleman itu tidak hanya bergantung kepada Gareth Bale.

Pemain tengah Arsenal berusia 25 tahun itu menyumbat gol pembukaan pasukannya di Toulouse Isnin lalu dengan menyempurnakan hantaran Joe Allen dan kemudian mencipta gerakan untuk Bale menghasilkan gol ketiga.

Dia juga merekod lima percubaan tepat, lebih banyak berbanding pemain tengah lain dan bakal menjadi pemain tumpuan apabila mereka membuat perhitungan dengan Ireland Utara pada pusingan kedua di Parc des Princes, Paris.

“Dia memberikan kami sesuatu yang kami tidak ada,” kata pengurus Wales Coleman ketika ditanya mengenai prestasi Ramsey pada kejohanan itu.

“Dengan posisinya itu, dia boleh melakukan perkara yang pemain lain tidak boleh lakukan. Dia boleh berada di hujung kotak kawasan kami atau hujung kotak kawasan lawan.

“Saya melihat dia berjaya menguasai permainan sepenuhnya di bahagian tengah. Ia persembahan terbaik yang pernah saya saksikan daripada pemain tengah Wales. Itu dapat menggambarkan betapa bagusnya dia.”

Ada yang menganggap tugasan antarabangsa sebagai jalan keluar buat Bale menyerlah selepas prestasinya sentiasa dipantau di Real Madrid sejak merekod perpindahan paling mahal di dunia dari Tottenham Hotspur pada 2013.

Situasi itu juga dilihat sama seperti dilalui Ramsey.

Dia yang sudah menghampiri musim kesembilan bersama Arsenal mendapat sokongan berbeza dalam kalangan penyokong yang mana ada di antara mereka memuji bakat dan kerajinannya manakala tidak kurang juga mengkritiknya.

Pada musim 2013-14 menyaksikan peningkatan Ramsey yang mencatat rekod terbaik dalam kariernya dengan 16 gol, termasuk gol kemenangan pada masa tambahan menentang Hull City pada final Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 9:34 AM