Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Satu kejutan berlaku pada minggu kedua menentukan protege pilihan Mentor Legend apabila Amy Search mengadakan pertarungan sekali lagi bagi memilih semula protegenya.

Jika minggu lalu Amy memilih Zelmi, pemilihan kedua ini dia memilih Sarah kerana sebelum ini tidak dapat melihat keseluruhan persembahan kedua-dua protegenya itu.

Menerusi pertarungan kali ini Zelmi memper­sembahkan lagu medley nya­nyian Meet Uncle Hussein, Laguku Untukmu dan lagu nyanyian Azlan & The Type­writer, Idola. Sarah pula menyanyikan lagu dendangan asal Adira, Ku Ada Kamu. Dengan pemilihan Sarah ini bermakna Zelmi pula akan dihantar ke studio rakaman untuk merakamkan single baru.

Ditemui selepas pertarungan, Amy yang tiba lewat selepas menyelesaikan konsertnya bersama Search di Istana Budaya, Kuala Lumpur berkata, ketika dua protegenya membuat persembahan minggu lalu banyak perkara yang tidak dapat dilihat secara keseluruhan.

"Selepas saya melihat kembali video program ini saya dapati banyak kelemahan dan kekurangan mereka berdua.

"Apabila berfikir semasak-masaknya, saya minta penerbit untuk memberi kebenaran melakukan pertarungan kali kedua bagi memilih semula protege yang terbaik untuk saya," katanya.

Terdahulu, ketika pemilihan protege Mas Idayu berlaku sedikit drama apabila penyanyi dangdut itu sukar membuat pemilihan berikutan mengakui kedua-dua protegenya hebat belaka.

"Apa yang berlaku bukanlah sengaja atau drama yang direka-reka. Mustahil untuk saya mengeluarkan air mata begitu saja. Jujur saya katakan pada malam ini, kedua-dua mereka memberikan persembahan yang begitu mantap sehingga sukar untuk membuat pilihan.

"Namun kehendak program hanya memerlukan seorang protege dan saya terpaksa memilih Tuah dan bukan bermakna Firdaus tidak bagus kerana hakikatnya Firdaus antara nama terawal yang sudah ada dalam senarai pilihan saya," kata­nya.

Persembahan penentuan protege untuk minggu kedua itu berlangsung lewat sejam bagi memberi laluan kepada perlawanan bola sepak AFF Suzuki 2014 di antara Malaysia dan Vietnam.

Bermula jam 10 malam, ia disiarkan secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Memulakan pertarungan, dua bakal protege Mas Idayu, Firdaus dan Tuah me­ngambil pentas dan menyampaikan lagu masing-masing. Di akhir persembahan, Mas Idayu sangat sukar memberikan kata putus siapakah yang bakal dipilih olehnya sehingga berlaku sedikit kekusutan.

Akhirnya, Ratu Gelek 45 Darjah itu memilih Tuah, peserta asal Kedah sebagai protegenya dan Mas Idayu dengan linangan air mata melepaskan Firdaus pergi.

Seterusnya, giliran bakal protege Ella mengambil tempat. Aina menyampaikan lagu Hurt, nyanyian asal Christina Aguilera manakala Putera mempersembahkan lagu Warisan Wanita Terakhir dendangan asal Teacher's Pet.

Usai persembahan mereka, Ella memilih Aina untuk dijadikan anak didiknya dalam persaingan Mentor Legend dan menyerahkan sebuah lagu untuk Putera rakamkan selepas ini.

Persaingan malam berkenaan diteruskan dengan persembahan dua orang bakal protege Zainal Abidin. Wada memilih untuk menyanyikan lagu Hijau, nyanyian asal Zainal sendiri manakala Nadeera menyampaikan lagu Jar of Hearts yang dipersembahkan oleh Christina Per­ri.

Akhirnya Zainal memilih Nadeera untuk meneruskan perjuangan dalam pertandingan realiti nya­nyian ini dan menyunting Wada untuk menjadi artis syarikat rakamannya.

Walaupun ada segelintir peminat melontarkan kata-kata nakal di laman sosial dengan menyifatkan apa yang terjadi dalam episod kali ini adalah sebahagian daripada elemen 'drama', tidak dapat dinafikan bakat-bakat kelahiran Mentor Legend kali ini membuka mata banyak pihak.

Mentor Legend dihoskan oleh Awal Ashaari selaku pengacara utama dan Zuan Azmi selaku pengacara belakang pentas. Shiha Zikir pula dipertanggungjawab­kan untuk menjadi peneraju bagi Jurnal Mentor.

Bagi peminat yang terlepas untuk menonton persaingan sengit mereka, layari www.tonton.com.my untuk melihat semula aksi protege kegemaran anda. Jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan Mentor Legend setiap hari Ahad, 9.00 malam di TV3.

Sementara itu, me­ngulas tindakan Amy melakukan pertarungan semula protegenya, rata-rata Mentor lain menyatakan itu adalah pilihan Amy yang harus mereka hormati.

Bagi Zainal pula, sebagai seorang penyanyi profesional yang sudah lama terbabit dalam bidang seni, sepatutnya Amy sudah dapat menilai daripada awal siapa yang terbaik.

"Sekilas ikan di air, kita sudah tahu jantan betina­nya. Tepuk dada tanyalah selera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM