Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Selepas berumahtangga dan bergelar ibu kepada anak sulungnya, Julia Claire Dargus, pelakon dan penyanyi Betty Banafe seolah-olah menyepikan diri dari persada hiburan tanah air.

Malah, ada segelintir pihak yang menganggap Betty sudah bersara kerana ingin memberi fokus pada rumah tangga.

Hakikatnya, pemilik nama sebenar, Ibtisam Abu Bakar Banafe, 34, ini masih mencintai bidang seni yang sudah menjadi darah dagingnya sejak dulu.

"Terus terang, saya masih belum bersara dari bidang seni seperti tanggapan segelintir pihak di luar sana. Cuma, saya terpaksa memperlahankan aktiviti seni seketika kerana Julia masih kecil dan menyusu badan sepenuhnya.

"Saya sudah cuba untuk memberi­nya susu badan dalam botol tetapi Julia menolaknya. Justeru, saya akan terus memberinya susu badan selagi dia mahu kerana percaya dengan kebaikan khasiatnya.

"Namun, saya bertuah kerana suami banyak membantu dan sanggup menjaga Julia, jika saya memenuhi undangan persembahan," katanya.

Apapun, kata Betty, dia berasa puas dapat melihat Julia membesar depan matanya sejak awal lagi.

"Tidak dinafikan, banyak tawaran dalam bidang seni yang terpaksa ditolak sepanjang tempoh itu tapi saya percaya ia berbaloi kerana dapat melihat Julia membesar depan mata," katanya.

Betty dan Bruce Dargus yang berdarah kacukan Lubnan dan Inggeris serta terbabit dalam bidang teknologi maklumat selamat diijabkabulkan tang­gal 8 Disember 2012.

Bercerita perkembangan karier nya­nyian pula, Betty bakal muncul de­ngan dua lagu baru berjudul Naluri dan duet dengan kumpulan Lela, Apa Salahku (Hargai Cinta) pada tahun depan sekaligus untuk mengubat kerinduan peminat. Kali terakhir, Betty muncul dengan album berjudul Ibtisam berkonsepkan 'fusion world music' pada 2007.

Beralih karier lakonan pula, Betty mengakui dia masih menanti naskhah yang bagus dan mampu mencabar lakonannya.

"Saya memang meminati bidang lakonan dan masih menanti watak dan skrip yang bagus. Jika ada watak yang sesuai dan menarik, pasti saya tidak menolaknya kerana saya juga rindu untuk kembali berlakon," katanya.

Tidak ketinggalan, Betty bersama Julia akan terbabit dalam program televisyen berjudul Dunia Ibu.

Diam-diam ubi berisi. Begitulah juga de­ngan pelakon dan penyanyi berbakat, Betty Banafe. Walaupun dia terpaksa memperlahankan aktiviti seni, ia bukan bermaksud, Betty hanya sekadar duduk goyang kaki di rumah.

Malah, Betty kini sudah melangkah setapak lagi dalam bidang bisnes dengan pelancaran jenama fesyen kanak-kanak secara online yang juga inspirasi daripada anaknya sendiri iaitu Julia Betty.

Katanya, jenama itu meng­khususkan kepada rekaan fesyen kanak-kanak perempuan bermula usia setahun hingga empat tahun.

"Sebenarnya, saya sudah lama mengimpikan untuk menghasilkan rekaan fesyen untuk kanak-kanak. Ke­inginan itu semakin bertambah sejak kelahiran Julia.

"Koleksi ini juga adalah inspirasi daripada Julia kerana saya sangat suka memakaikannya dengan gaun sejak awal lagi.

"Dari situlah kami dapat idea untuk menghasilkan rekaan gaun untuk kanak-kanak dengan sokongan rakan-rakan sekeliling.

"Selain saya dan suami, ia membabitkan kolaborasi dengan pereka fesyen muda iaitu Amaleena Yusoff dan Adam Muzaini Schneider dari segi idea dan rekaan terkini," katanya.

Betty ditemui pada majlis sambutan hari jadi pertama Julia yang diadakan di Restoran Hadramawt The Curve di sini baru-baru ini.

Majlis hari jadi Julia yang mencecah usia setahun turut disemarakkan dengan kehadiran ramai selebriti tanah air bersama anak masing-masing. Antaranya Eja, Noryn Aziz, Norish Karman, Natasha Hudson, Linda Hashim, Beego, Wafa Abd Kadir dan Annahita Bakavoli.

Mereka yang berminat dengan koleksi fesyen kanak-kanak ini boleh melayari laman akaun @juliabettybanafe di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM