KELUARGA dan rakan mangsa masih menunggu jenazah di Hospital Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah
Mond.rizal@hmetro.com.my


Miri: Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong yang ditembak mati pagi semalam disahkan sebagai muslim dan jenazah akan diurus mengikut cara Islam.

Pegawai Agama Islam Bahagian Miri, Jamaluddin Taim berkata, Bill Kayong, 43, ataupun nama Islamnya Mohd Asbi Abdullah memeluk islam selepas berkahwin dengan isterinya Hasyikin Hatta, 41, yang beragama Islam.

Menurutnya, pihaknya juga mempunyai rekod pengislaman Bill Kayong di Pejabat Agama Miri.

"Pihak kami juga sudah bertemu dengan isterinya dan diberitahu Bill Kayong akan disemandikan dengan cara Islam pada hari Jumaat ini di Tanah Perkuburan Batu 1, Kuala Baram," katanya

Semalam, ahli politik itu ditembak mati oleh individu tidak dikenali di Persimpangan Lampu Isyarat berdekatan E-Mart, Tudan pada pada jam 9 pagi.

Mangsa yang memandu pikap Toyota Hilux disahkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat terkena tembakan di leher menggunakan senapang patah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 3:38 PM