AKTIVITI khatam al-Quran turut diadakan.
ANGGOTA bomba menghadiahkan permainan kepada pesakit.
JURUTERBANG helikopter memberi penerangan kepada Monesha sebelum menerbangkannya.
SEORANG pesakit kanak-kanak dikunjungi Ultraman.
KANAK-kanak dihiburkan dengan persembahan maskot.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Bayangkan jika tiba-tiba ibu bapa mendapat tahu anak kecil mereka menghidap kanser, pasti dunia seakan-akan gelap dan sukar menerima hakikat anak sekecil itu perlu menanggung beban kesakitan dan rawatan berterusan yang ada kalanya memberi kesan emosi serta fizikal.

Sungguhpun begitu, kanak-kanak yang berdepan cabaran getir dalam hidup seperti itu tidak seharusnya terus berduka, sebaliknya perlu sentiasa dibantu orang sekeliling dari segi mental dan emosi agar semangat mereka pulih dan harapan untuk berjuang melawan kanser terus mekar.

Sememangnya lumrah kanak-kanak menginginkan kehidupan sempurna dan pengalaman yang menyeronokkan seperti kanak-kanak lain. Mereka juga mempunyai keinginan untuk memiliki atau merasai sesuatu yang boleh mengukir senyuman sekali gus memberi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Justeru, baru-baru ini, 14 pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjayakan program Satu Hajat, Sejuta Harapan di Hospital Kuala Lumpur.

Program itu bertujuan memupuk kesedaran mengenai penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak selain meningkatkan pengetahuan mengenai kaedah rawatan, penjagaan dan sokongan dalam kalangan ibu bapa dan ahli keluarga pesakit.

Antara objektif utama program ini adalah untuk memberikan keceriaan kepada 25 kanak-kanak pesakit kanser di wad KK3, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Memilih tema Make A Wish sejajar dengan tujuan utama program itu iaitu untuk memenuhi hajat atau impian kanak-kanak ini, mereka dirai dengan penuh meriah dan keceriaan jelas terserlah selepas impian mereka tercapai.

Program yang diketuai Zulfadli Hadi itu bermula dengan kunjungan pelajar terbabit beberapa bulan lalu untuk mendapatkan semua hajat kanak-kanak tidak bernasib baik ini.

“Kami teruskan dengan usaha mencari penaja yang sudi dan berminat untuk sama-sama menunaikan hajat mereka.

“Apa jua hajat mereka sama ada ingin menaiki helikopter, menaiki jentera bomba atau kenderaan polis mahupun ingin berjumpa dengan adiwira pilihan mereka, berjaya direalisasikan,” katanya.

Seorang pesakit kanser, K Monesha, 6, mengakui menaiki helikopter menjadi impiannya sejak sekian lama namun dia tidak pernah menyangka impiannya itu akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, melalui program anjuran pelajar terbabit, mereka berjaya mendapatkan kerjasama AF Jets Sdn Bhd untuk menerbangkan Monesha mengunakan helikopter di sekitar Kuala Lumpur.

Kegembiraan dan kepuasan terpancar di wajahnya dan pasti menyimpan memori indah buatnya serta memberinya semangat untuknya melawan kanser dan menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Selain itu, antara hajat lain kanak-kanak pesakit kanser ini ialah berjumpa adiwira kesayangan mereka seperti Boboiboy dan Ultraman, memiliki komputer riba, tablet, koleksi novel dan ada juga yang menginginkan baju baru untuk dipakai Aidilfitri nanti.

Pelajar yang menjayakan program itu terdiri daripada pelajar UiTM pengajian separuh masa di bawah pengendalian Institut Pendidikan NEO (iNED), UiTM.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah iNED Prof Madya Dr Roslani Embi.

Pada majlis sama, diadakan forum mengenai penyakit kanser oleh empat panel terdiri daripada Pakar Pediatrik, Onkologi dan Hematologi Kanak-Kanak HKL, Dr Eni Juraida Abdul Rahman, Pengerusi Yayasan Kanser Malaysia, Mohd Royzilee Mustaffa , ibu kepada penghidap penyakit kanser Shahrina Sharome dan bekas pesakit kanser, Amirra Yussof.

Selain itu satu majlis acara khatam al-Quran oleh 16 pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Al-Quran Darul Masri turut diadakan di Auditorium Pediatrik HKL.

Semua sumbangan berkenaan hasil kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Unit Udara Polis Di Raja Malaysia (PGU), Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Titiwangsa, serta tidak ketinggalan sumbangan daripada syarikat swasta dan individu.

Program itu bukan saja dapat membantu merealisasikan hajat kanak-kanak yang kurang bernasib baik tetapi membuka ruang untuk masyarakat mengenali lebih dekat mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 2:00 PM