PUTERI Aishah Azaharah cedera di kepala dan telinga. FOTO Shamsudin Husin
Shamsudin Husin
am@hmetro.com.my


Chukai: Kanak-kanak berusia empat tahun cedera di kepala dan mengalami pendarahan di telinga selepas motosikal dibonceng bersama bapanya terbalik selepas bergesel dengan sebuah kereta di bandar Chukai Utama, di sini, 1.30 tengah hari semalam.

Puteri Aishah Azaharah Mohd Firdaus yang dikejarkan ke Hospital Kemaman terpaksa dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa bersama bapanya, Mohd Firdaus Mohamad, 26, dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Pengkalan Pandan untuk ke sebuah pasar raya bagi membeli pembancuh minuman.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi motosikal yang tunggang dua beranak terbabit bergesel dengan kereta lalu terbalik.

Kejadian itu juga menyebabkan Mohd Firdaus patah tulang dada dan kini menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi berkata, sehingga tengah hari ini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 1:14 PM