Aktivis haiwan (bertopi) bertelagah dengan penjual anjing dan gambar kanan, seorang aktivis bersama anjing yang berjaya dibelinya bagi mengelak dibunuh untuk dimakan. - Foto AP
daging anjing yang dijual secara terbuka di Yulin dan gambar kanan, penjual menunggu pembeli anjing dibawanya. - Foto Reuters/AP
AP

Yulin,China: Pesta tahunan memakan daging anjing di bandar ini bermula hari ini, walaupun menghadapi kritikan dan bantahan pelbagai pihak terutama aktivis hak haiwan.

Ribuan anjing pelbagai jenis dibunuh dan dimasak oleh puluhan restoran selain daging anjing dijual kepada orang ramai walaupun dibantah kerana dianggap kejam serta berkemungkinan penyakit merebak.

Ramai aktivis haiwan berada di bandar ini, berusaha membeli sebanyak mungkin anjing bagi mengelak haiwan itu dikorbankan. Penduduk tempatan tidak senang dengan campur tangan mereka dalam pesta berkenaan yang sudah menjadi tradisi sejak ratusan tahun.

“Kami cuba beritahu mereka bahawa anjing adalah kawan kita dan ia tidak sepatutnya dibunuh dengan cara kejam ini. Malahan banyak anjing yang dibunuh ialah anjing peliharaan,” kata sukarelawan aktivis haiwan Yang Yuhua.

Dianggarkan antara 10 juta hingga 20 juta anjing dibunuh di China untuk dimakan dagingnya setiap tahun namun hanya Yulin menyediakan pesta tahunan itu.

Selain anjing jalanan, banyak anjing terbabit dipercayai dicuri daripada pemiliknya, dikurung dalam sangkar sempit dan dibawa ke Yulin yang terletak 2,000 kilometer di selatan Beijing.

Selain anjing, kucing juga menerima nasib yang sama di pesta berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan walaupun tidak mengiktiraf pesta berkenaan, namun tidak berusaha menghalangnya.

Penganjur mendakwa makan daging anjing ketika musim panas mampu menurunkan suhu badan dan mengekalkan kesihatan metabolisme walaupun daging anjing berpotensi membawa keburukan kepada manusia kerana membawa penyakit termasuk trichinellosis, virus anjing gila dan taun.

Guangxi ialah antara lima wilayah China yang mempunyai paling ramai pesakit dijangkiti virus anjing gila dengan Yulin berada ditangga teratas dalam kalangan 10 bandar raya negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 7:13 PM