DUSIT (duduk kiri) bersama Presiden Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), Mengga Mikui (duduk dua kanan) dan ahli Persatuan Dayak Sarawak memegang poster Bill Kayong yang mati ditembak. FOTO Che Rani Din
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Kuching: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti Dayak enggan mengaitkan kematian aktivisnya Bill Kayong yang ditembak di Miri pagi tadi dengan perjuangan terhadap Tanah Adat Bumiputera (NCR) Sarawak.

Presiden Persatuan Graduan Dayak Sarawak, Dusit Jaul berkata, pihaknya mengutuk keras kematian Bill, 43, kerana tindakan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden ini tidak berperikemanusiaan.

"Saya mewakili NGO Dayak di negeri ini menggesa polis untuk menyiasat motif Bill ditembak mati dan suspek yang terbabit perlu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

"Kami juga akan membantu pihak polis menyalurkan apa saja maklumat yang dapat membantu siasatan dan berharap mana-mana pihak supaya tampil memberi kerjasama sekiranya mengetahui punca kejadian," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar meminta saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Bill ditembak mati individu tidak dikenali di dalam pacuan empat rodanya menggunakan senapang patah di lampu isyarat di persimpangan Lutong, Miri, pagi tadi.

Berita berkaitan:

Pasukan khas siasat kes bunuh Bill Kayong

Setiausaha PKR Miri mati ditembak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 6:10 PM