Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Muallim: Dua penjenayah dipercayai warga Indonesia mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Proton City-Behrang Ulu, Muallim pagi tadi.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, kedua-dua suspek dikesan menaiki kereta warna perak mengguna nombor pendaftaran palsu di Jalan Ulu Slim.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, operasi dijalankan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dengan kerjasama JSJ Bukit Aman terhadap kumpulan penjenayah terbabit yang aktif melakukan jenayah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Ketika dikesan polis cuba menahan suspek, namun suspek memecut laju kenderaan sebelum dipintas di Jalan Proton City.

"Sebaik dipintas seorang suspek melepaskan beberapa das tembakan dan seorang lagi menyerang menggunakan celoret serta parang hingga menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan.

“Suspek mati ditembak di tempat kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, di sini hari ini.

Menurutnya, dengan tumpasnya kedua-dua penjenayah itu polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes samun di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Kelana Jaya dan polis menemui tiga parang, satu celoret, pistol semi auto jenis Barreta, dua peluru hidup, empat kelongsong peluru dan beberapa barang dipercayai hasil samun termasuk gelang dan rantai emas.

"Polis kini sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan penyamun bersenjata api ini yang masih bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 2:33 PM
ABDUL RAHIM (dua kanan) menunjukkan barang yang dirampas daripada dua penjenayah yang ditembak mati. FOTO Rosman Shamsudin