Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang pemuda terlepas hukuman gantung dan dikenakan hukuman penjara 12 tahun serta 10 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki dadah jenis heroin seberat 20.29 gram pada Oktober tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Noorin Badaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ismail Hussin, 24, selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah yang dibuat terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 daripada pertuduhan asal mengikut 39B akta sama

Tertuduh turut mengaku bersalah terhadap dua lagi pertuduhan kerana memilik dadah jenis Monoacetylmorphine seberat 1.66 gram serta dadah jenis Methamphetamine seberat 3.01 gram dan bagi kedua-dua pertuduhan, Ismail dikenakan hukuman penjara tiga tahun, namun mahkamah mengarahkan hukuman dijalankan serentak dengan tuduhan pertama.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Abd Hamid.

Dalam rayuannya, Ismail memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalahnya yang menjimatkan masa dan kos perbicaraan, selain mengaku menyesal dengan perbuatan yang dilakukan serta perlu menjaga dan menyara ibu berusia 60 tahun yang sudah uzur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:34 PM