WAKTU yang terluang ketika berpuasa lebih elok dimanfaatkan untuk membaca al-Quran.
Mohd Rizal Azman Rifin

Ramadan bolehlah dikembarkan dengan pengamalan budaya membaca al-Quran. Kita tentunya tidak mahu ketinggalan daripada menjadikan pembacaan al-Quran sebagai rutin hidup pada bulan penuh berkat ini.

Kita menyedari hubungan erat antara Ramadan dan al-Quran. Pada Ramadan diturunkan al-Quran, sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Firman Allah dalam surah al-Qadr, ayat 1 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar.”

Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir dan terbesar diturunkan Allah untuk pedoman umat manusia. Sebelumnya Allah menurunkan Zabur, Taurat dan Injil melalui rasul terdahulu.

Gua Hira, Makkah menjadi saksi kepada turunnya wahyu kali pertama. Penurunan wahyu itu sekali gus membuka lembaran baharu kehidupan manusia dan hingga waktu ini kita turut mendapat manfaat daripadanya.

Ternyata, ia adalah sebesar-besar rahmat dan nikmat yang dilimpahkan oleh Allah kepada kita semua.

Sebabnya dengan panduan al-Quran sahajalah kita akan mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku.

“Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-Alaq, ayat 1 hingga 5)

Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman, ayat yang lima itu mengemukakan tiga perkara besar:

1. Allah Tuhan sekalian alam, Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa. Yang wajib diingati dan dipatuhi dalam segala keadaan.

2. Manusia yang diciptakan oleh Allah dalam sebaik-baik keadaan dan diberikan pelbagai keistimewaan berbanding makhluk lain.

3. Nikmat ilmu pengetahuan yang diajarkan oleh Allah kepada manusia melalui pena dan tulisan.

Semenjak penurunan wahyu pertama itu, Allah secara beransur-ansur terus menyampaikan wahyu-Nya yang lain kepada Baginda SAW selama 23 tahun.

Al-Quran yang merangkumi 114 surah yang semuanya tidak sama panjang dan pendeknya, dengan surah al-Kautsar menjadi surah terpendek yang hanya tiga ayat dan terpanjang ialah surah al-Baqarah sebanyak 286 ayat.

Dalam mushaf, semua surah itu dimulai dengan kalimah basmalah melainkan surah at-Taubah iaitu surah kesembilan dalam susunannya.

Jika ditinjau daripada jumlah keseluruhan ayatnya wujud beberapa pendapat. Ada ulama mengatakan jumlahnya 6,236 ayat. Tidak kurang pula mendakwa 6,666 ayat. Namun, usahlah kita perbesarkan soal ini sekiranya kita tiada ilmu mengenainya.

Sempena Ramadan ini, marilah kita membaca al-Quran dengan lebih giat. Membacanya bukan sekadar untuk mendapat pahala pada bulan mulia ini, bahkan kita cuba memahami kandungannya untuk diamalkan dalam kehidupan harian.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 8:52 AM