JUAL 400 ayam tempayan sehari.

Kuantan: Lima biji tempayan disusun sebaris di bahagian tepi khemah gerainya, arang pula dimasukkan sebelum dihidupkan api bagi membakar arang berkenaan sehingga menjadi bara.

Apabila berpuas hati dengan tahap kepanasan tempayan berkenaan, lapan ekor ayam dimasukkan ke dalam setiap satu tempayan dan kemudian ditutup sehingga ayam masak yang mana prosesnya mengambil masa kira-kira 30 minit.

Itu rutin harian Ramli Yusof, 47, di gerai jualan ayam tempayannya di Bazar Ramadan Stadium Darul Makmur, di sini, dan kesibukannya bermula sejak jam 1 tengah hari bagi melakukan persiapan.

Katanya, dia mula berniaga ayam tempayan itu sejak empat tahun lalu apabila melihat penggunaan tempayan untuk memanggang ayam menjadi kebiasaan bagi peniaga nasi ayam di Thailand.

Ramli yang turut menjalankan perniagaan menjual ayam golek sejak 1994 di pasar malam sekitar bandar ini berkata, dia hanya menjual ayam tempayan itu pada Ramadan saja dan sambutan pelanggan begitu memberangsangkan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 8:24 AM