SOLAT berjemaah dapat mengeratkan silaturahim dan mengimarahkan masjid.
Mohd Shahrizal Nasir

Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Dapat diperhatikan, umat Islam di mana jua berada tekun beribadat. Gambaran ini sungguh berlainan jika hendak dibandingkan pada bulan selainnya.

Malah, kita sendiri berlumba-lumba ke masjid. Kita mahu berada dalam jemaah yang memakmurkannya. Sebab kita tahu betapa ganjaran istimewa disediakan pada bulan yang mulia ini.

Namun, masjid tidak sama dengan tempat lain. Maknanya, apabila kita ke masjid, adabnya perlulah dijaga. Antara adab ataupun anjuran yang sangat ditekankan untuk kita sama-sama ambil perhatian ialah:

l

Mengerjakan solat sunat Tahiyatul Masjid

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Jika seorang daripada kamu masuk masjid, maka hendaklah dia solat dua rakaat sebelum dia duduk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Amalan sunah ini sangat baik dipraktikkan oleh kita. Jadi, sebaik saja sampai di masjid, usah terus duduk dan berbual-bual. Solatlah dulu dua rakaat.

l

Merapatkan dan meluruskan saf

Ada banyak hadis menjelaskan keutamaan menjaga saf ketika menunaikan solat secara berjemaah antaranya diriwayatkan oleh Muslim. Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Kenapa kamu semua tidak berbaris sebagaimana malaikat berbaris di hadapan Rabb (Allah) mereka?

“Maka kami (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Bagaimanakah malaikat berbaris di hadapan Rabbnya?

“Baginda menjawab: ‘Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling rapat di dalam saf.’”

Hadis ini memberi penjelasan perlunya kita menjaga saf solat berjemaah. Saf solat mesti dalam keadaan lurus dan tiada yang kosong.

Masing-masing perlu ambil perhatian mengenai perkara ini, baik yang muda mahupun tua. Jika hanya segelintir mengambil berat mengenainya manakala yang lain buat tidak endah, saf tetap tidak lurus.

l

Tidak menimbulkan gangguan

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang makan bawang putih atau merah (yang kuat baunya), maka jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah dia di rumahnya sahaja.” (Riwyat al-Bukhari)

Hadis ini bukan bertujuan menggalakkan kita menunaikan solat di rumah saja tanpa ke masjid. Sebaliknya, ia mengingatkan kita supaya menjaga diri daripada mengganggu atau menyebabkan keadaan tidak selesa jemaah di masjid.

Disiplin amat penting apabila ke masjid. Jangan sampai tindakan kita tidak disenangi orang lain.

Apabila bersolat, solatlah dengan tertib dan mengikut adabnya. Contohnya, kita tidak bersolat di pintu atau laluan utama orang terutama apabila solat seorang diri. Begitu juga apabila melangkah ke dalam masjid, janganlah melangkah di depan orang sedang solat.

Seperkara lagi mengenai telefon bimbit yang hari ini hampir semua orang memilikinya dan sentiasa membawanya ke mana-mana saja.

Jadi, apabila dibawa masuk bersama-sama ke masjid, pastikan ia tidak menimbulkan gangguan. Jangan disebabkan muzik lantang daripada telefon kita, solat semua orang termasuk imam di depan terganggu.

Bersolatlah dengan penuh khusyuk. Usah terbawa-bawa dengan mainan dunia di dalam masjid.

Ingatlah firman Tuhan yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 dan 2)

Penulis pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 11:05 AM