Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Sambutan Ramadan tahun ini memberi makna berbeza buat pelakon baru Puteri Aishah Sulaiman apabila pertama kali menyambutnya sebagai seorang selebriti.

Puteri Aishah, 22, yang selesa disapa Puteri sebelum ini popular dengan gelaran Cikgu Aishah apabila gambarnya ketika menjadi guru sandaran ‘viral’ di Internet.

Ketika Ramadan, Puteri tidak sesekali melupakan tradisi atau rutin wajib yang sering dilakukannya iaitu berkunjung ke bazar Ramadan.

Puteri berkata, kunjungan kali ini berbeza apabila sudah ramai mengenalinya hingga dia diberikan potongan harga setiap kali membeli juadah.

“Ada orang tidak mahu ke bazar Ramadan kerana sesak dengan pengunjung, tetapi saya memang suka. Malah itu antara perkara yang dinanti setiap kali berpuasa. Bukan bermaksud pergi bazar itu melebihi nikmat Ramadan, sebaliknya ia antara rutin wajib saya.

“Memandangkan bulan ini saya tidak menjalani penggambaran, jadi masa lebih banyak dihabiskan bersama keluarga di kampung. Justeru, bazar yang menjadi pilihan saya ialah di Port Dickson.

“Cuma kali ini berbeza sedikit sebab sudah ada yang mengenali saya. Malah kalau saya membeli makanan, mereka memberikan potongan harga. Rasa segan pun ada, tetapi saya anggap itu adalah rezeki,” katanya.

Menurut Puteri, biarpun kerap ke bazar Ramadan dia masih menitikberatkan soal perbelanjaan agar tidak berlaku pembaziran.

Bagi Puteri, perancangan itu penting dengan menetapkan juadah apa yang ingin dibeli dan bukannya bersikap main beli sahaja.

“Ramai cakap kalau ke bazar Ramadan pasti membazir sebab membeli pelbagai juadah. Namun bagi saya, perkara itu boleh dikawal jika diri sendiri tidak berbelanja mengikut nafsu. Macam saya membeli apa yang nak dimakan saja.

“Lagipun, juadah pilihan saya ialah kuih-muih saja. Ini kerana masakan lain disediakan emak di rumah. Disebabkan itu, keberangkalian berlakunya pembaziran tidak ada,” katanya.

Menurut Puteri, juadah yang menjadi pilihannya ialah tepung pelita, tongkeng ayam dan air soya.

Berkongsi mengenai sambutan Ramadan tahun ini, Puteri bersyukur apabila masih berkesempatan menjalani ibadah itu bersama keluarga.

Memandangkan bulan sebelumnya dia sibuk menjalani penggambaran drama, kali ini dia berehat.

“Secara peribadi, Ramadan ini menjadikan saya lebih bersyukur dengan apa dimiliki. Jika melihat semula apa yang diberikan kepada kita, teringat insan lain yang memerlukan.

“Bukan nak mendabik dada, tetapi tidak salah jika pada bulan baik dan penuh keberkatan ini kita melakukan sedikit amal jariah. Tidak perlu banyak, sebaliknya mengikut kemampuan. Insya-Allah pasti ada ganjarannya,” katanya.

Peluang berdiet

Selain memberi fokus kepada ibadah, Puteri yang bakal muncul dengan drama Cinta Roller Coaster mengambil peluang Ramadan ini untuk berdiet.

“Rasanya bukan saya seorang yang melakukan perkara itu, sebaliknya ramai lagi. Sebelum berpuasa lagi saya sudah tetapkan dalam diri untuk mengurangkan makan sama ada ketika bersahur atau berbuka puasa.

“Bukan apa, saya jenis yang susah nak turunkan berat badan. Mungkin sebab saya kurang bersenam membuatkan perkara itu berlaku. Jadi, sepanjang berpuasa ini saya mencuba untuk berdiet.

“Tambahan pula selepas sambutan Aidilfitri saya terbabit dengan penggambaran filem yang memerlukan saya kurus. Ini satu lagi cabaran saya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai projek filem yang bakal dijayakan, Puteri meluahkan rasa teruja kerana itu adalah filem pertamanya.

“Saya bersyukur sebagai orang baru sudah diberikan peluang untuk berlakon filem. Malah saya diberikan watak utama. Peluang sebegini antara yang dinantikan semua pelakon.

“Sebagai persediaan, saya banyak membuat latihan untuk diri sendiri. Memandangkan filem ini berlatar belakangkan tahun 1930-an, jadi saya perlu membuat kajian sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 10:43 AM