Kuala Lumpur: Langkah kerajaan menubuhkan Kelab Perlindungan dan Indemniti (P&I) Malaysia menerusi Exim Bank bagi membantu pemilik kapal kargo dengan muatan kasar 300 tan ke bawah mampu membuka peluang perniagaan kepada syarikat tempatan yang terbabit dalam sektor pelabuhan di negara ini.

Ini kerana ketika ini, kebanyakan pemilik kapal besar di Malaysia dilindungi insurans menerusi P&I luar negara yang mungkin disebabkan kurangnya kepakaran oleh syarikat insurans tempatan atau pihak yang berkaitan.

Penasihat dan pengasas Tumpuan Megah Development Sdn Bhd (Tumpuan Megah), Tan Sri Dr Jason Goh Teck Chai berkata, ketika ini kebanyakan syarikat perkapalan membeli insurans di luar negara seperti Singapura bagi tujuan melindungi barangan yang dibawa oleh kapal kargo.

"Kerajaan mahu pemilik kapal mempunyai insurans untuk menawarkan perlindungan liabiliti pihak ketiga pada premium yang berpatutan khususnya barangan atau kargo yang berbahaya.

"Ini akan menggalakkan syarikat perkapalan untuk membeli insurans daripada syarikat insurans tempatan dan pada masa sama, syarikat insurans ini perlu meningkatkan pengetahuan mengenai kaedah menguruskan insurans ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Bajet 2015 di sini, semalam.

Tumpuan Megah ketika ini terbabit sebagai penyedia perkhidmatan Bunkering (pembekalan minyak) daripada kapal ke kapal di beberapa pelabuhan utama di negara ini.

Mengenai projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang di Johor yang dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan, Jason berkata, projek di kawasan seluas 800 hektar itu akan membuka banyak peluang pekerjaan baru dan perniagaan kepada syarikat yang terbabit khususnya dalam sektor minyak dan gas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:09 AM