ORANG awam yang melarikan diri dari Fallujah menanti pemeriksaan keselamatan oleh tentera Iraq di pinggir bandar itu, semalam.
Agensi

Baghdad: Kem pelarian yang diuruskan kerajaan Iraq semalam bergelut untuk memberi perlindungan kepada orang awam yang melarikan diri dari Fallujah ketika pertempuran antara tentera kerajaan dengan bantuan Syiah dengan kumpulan Daish masih berterusan.

Perdana Menteri, Haider al-Abadi mengisytiharkan menang dalam pertempuran dengan kumpulan itu Jumaat lalu selepas tenteranya berjaya menawan pusat bandar berkenaan.

Bagaimanapun, tembak-menembak, serangan pengebom berani mati dan tembakan mortar masih berterusan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 82,000 orang awam melarikan diri dari Fallujah sejak kempen bermula dan 30,000 lagi dijangka tiba di kem pelarian yang disediakan dalam masa terdekat ini.

“Mereka meninggalkan bandar itu dengan berjalan kaki selama beberapa hari, mengelak jerangkap samar dan penembak Daish. Mereka meninggalkan Fallujah sehelai sepinggang dan kini amat memerlukan bantuan,” kata Lisa Grande, Penyelaras Kemanusiaan PBB di Iraq, Lise Grande.

Jumlah pelarian itu dijangka akan berlipat kali ganda jika serangan terhadap kubu kuat Daish di Mosul diteruskan seperti yang dirancang lewat tahun ini, mengejutkan kerajaan dan juga kumpulan bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, ratusan keluarga dipercayai masih terperangkap di Fallujah, termasuk wanita hamil, golongan yang sakit dan tua yang tidak berupaya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 7:58 AM