PENGUNDI membuang undi di Sungai Limau bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
Mohammad Ishak

Jertih: Kejayaan cemerlang calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan dua kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dilihat sebagai satu petanda baik sokongan rakyat terhadap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh berkata, walaupun BN menghadapi tentangan hebat pasukan pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi pengundi tetap memberi pilihan kepada calon BN.

Katanya, kehadiran Mahathir berkempen membantu calon Pakatan Rakyat tidak memberi kesan besar sebaliknya gagal mempengaruhi pengundi dalam kedua-dua PRK berkenaan.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pelbagai isu dibangkitkan pembangkang terutama 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan isu peribadi Perdana Menteri sudah tidak relevan dan rakyat sudah faham mengenai isu berkenaan.

“Kemenangan besar BN ini meningkatkan semangat ahli parti untuk memperkukuhkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu kepada pelajar Daerah Besut di Masjid Hadhari di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan PRK itu membuktikan kerajaan berada di landasan benar dalam mengurus tadbir negara dan pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang hanya untuk kepentingan politik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 3:52 PM