ABDUL Rashid Harun. FOTO arkib NSTP
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Polis menafikan empat warga Filipina yang ditahan kerana memasuki negara secara haram di perairan Nunuyan, Sandakan, semalam,bertujuan menuntut wang tebusan empat rakyat Malaysia yang dibebaskan 8 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun ketika dihubungi hanya mengesahkan penahanan keempat-empat lelaki terbabit.

"Penahanan empat suspek itu tiada kaitan mengenai tuntutan wang tebusan.

"Keempat-empat lelaki yang ditahan disebabkan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri masuk ke negara ini," katanya.

Difahamkan, empat lelaki berkenaan yang menaiki bot laju ditahan sepasukan polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika melakukan rondaan di kawasan perairan Nunuyan, Sandakan, 6.20 pagi semalam.

Hasil soal siasat mendapati suspek terbabit kononnya mengaku datang ke Sandakan dari Pulau Tawi-Tawi Jolo, Filipina, untuk menuntut wang tebusan empat rakyat Malaysia yang dibebaskan 8 Jun lalu.

Terdahulu, pada 1 April lalu, empat mangsa iaitu Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Siong, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johny Lau Jung Hien, 21, diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata api di perairan Pulau Ligitan, Semporna.

Bagaimanapun, selepas 69 hari diculik, empat mangsa kemudian dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 3:42 PM